Malaysia Dateline

Malaysia mengetuai negara Asean hadir Expo Bandar Pintar di Korea Selatan

Pembukaan Expo Bandar Pintar Sedunia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Korea, Lee Nak Yeon hari ini, menyaksikan sekali lagi Seoul Korea menjadi tuan rumah yang turut memperlihatkan kehadiran 10 buah Negara Asean.

Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, dalam expo berkenaan, Malaysia telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan bagi pihak Negara-negara Asean.

Menurutnya, kehadiran Perdana Menteri Korea hari ini menunjukkan komitmen serta kesungguhan Korea Selatan dalam merapatkan hubungan dengan negara serantau Asean.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Korea Selatan atas kepimpinan dan jemputan serta Expo yang di laksanakan dengan begitu berjaya dan berkesan dalam memainkan peranan utama mempromosikan konsep serta teknologi bandar pintar.

“Sepanjang kehadiran saya di Korea untuk Persidangan Kerjasama Infrastruktur Global dan juga Expo Bandar Pintar, saya telah banyak menyaksikan kemajuan teknologi Korea yang mendahului negara barat. Hubungan erat dengan Korea akan banyak menguntungkan Malaysia.

“Kehadiran Perdana Menteri Korea Selatan di Majlis pembukaan Expo Bandar Pintar yang di hadiri oleh kesemua 10 Negara ASEAN menunjukkan komitmen kepimpinan mereka untuk membantu Asean,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raja Kamarul Bahrin Shah turut tidak ketinggalan bergambar kenangan bersama Perdana Menteri Korea Selatan Lee Nak Yeon di Majlis Perasmian Bandar Pintar 2019.

Menurut Raja Kamarul, kerajaan Korea telah membantu menyediakan perancangan pelan bandar pintar dan juga perancangan pengurusan air bagi bandar Kota Kinabalu sebagai sumbangan bantuan teknikal kepada Malaysia.

Katanya, ia adalah selari dengan saranan dasar pandang ke timur oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya nilai ketimuran lebih diserap dalam perancangan Negara.

“Perancangan bandar dengan masalah sosial dan perumahan perlu di tangani dengan lebih bijaksana dan nilai tempatan ketimuran bagi mengelak masalah sampingan jangka masa panjang.

“Dengan sikap setengah negara barat mengambil sikap agresif berkonfrantasi seperti di lakukan terhadap negara China dan juga Turki, sikap pandang ke timur ini lebih bijaksana dan tepat,” katanya.

Katanya lagi, Dr Mahathir turut akan mengadakan lawatan ke Korea Selatan pada akhir tahun ini untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Korea Selatan.