Malaysia Dateline

Malaysia menuju negara ala Taliban?

Polis turut berada di Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk mempastikan tidak ada apa-apa yang berlaku.

Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrain Raja Ahmad berharap peristiwa yang memperlihatkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dikepung dan diugut oleh lebih kurang 15 orang selepas turun dari pejabat AMANAH Terengganu semalam tidak mencerminkan bermulanya budaya hitam ala Taliban di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, budaya dan insiden seperti ini yang sudah lama tidak kelihatan sebelum ini tiba-tiba timbul semula di Terengganu selepas Kerajaan Pas Negeri menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

“Tidak cukup dengan ugutan yang berlaku di pejabat AMANAH, mereka yang terlibat menjejak dan menunggu YB Khalid Samad di luar kawasan ibu pejabat Polis Kuala Terengganu hingga awal pagi.

“Beberapa saksi telah membuat laporan dan memberi keterangan isu ugutan tersebut,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Raja Bahrin, beliau yang turun dari pejabat AMANAH selepas sessi Facebook-live bersama YB Khalid juga diugut kerana membuat ucapan dan ceramah.

Katanya, mereka yang mengepung kami datang dari beberapa penjuru yang gelap dengan tujuan untuk mengugut dan menakutkan kami.

“Persoalan yang timbul sekarang adakah Kerajaan Perikatan Nasional ini akan menyekat kebebasan bersuara melalui media sosial dan facebook pula?

“Adakah kerajaan PN yang kononnya merupakan kerajaan Islam-Melayu akan membawa kita ke arah budaya Taliban di mana hujah ucapan akan dibalas dengan ugutan intimidasi untuk menakutkan rakyat dari bersuara?

“Adakah ini satu indikasi hala tuju kerajaan baru PN, melalui pintu belakang, yang merampas hak rakyat setelah mereka memilih kerajaan PH juga berhasrat merampas hak rakyat untuk bersuara,” soal beliau.

Kata bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, hak melilih secara demokrasi telah dirampas dari rakyat dan sekarang hak bersuara melalui ugutan keras sudah mula dipaksa ke atas kita.

Dalam masa sama, jelas beliau, sejak semalam facebook dan WhatsApp penyokong kerajaan negeri di Terengganu terus mengugut untuk mengejar dan mencari kami semasa kami membuat laporan polis.

Ujarnya, pihak polis telah memandang serius insiden ugutan keselamatan sehingga mengawasi hotel YB Khalid dan menghantar berbelas anggota polis yang bersenjata ke Lapangan Terbang Kuala Terengganu semasa YB Khalid hendak berlepas pulang pagi tadi.

“Adakah kerajaan “Perikatan” Nasional ini berhasrat untuk “mengikat” mulut serta tangan rakyat melalui konsep kerajaan Islam-Melayu ini yang menjurus ke arah kerajaan ala Taliban?

“Rakyat tidak pernah mengundi untuk memilih kerajaan pintu belakang ini yang sudah mula menunjuk belangnya yang sebenarnya,” kata beliau.