Malaysia mesti bertegas terhadap Myanmar

Malaysia mesti bertegas terhadap Myanmar

Pemuda Amanah Nasional mendesak kerajaan Malaysia bertindak tegas ke atas Myanmar ekoran kezaliman dilakukan terhadap komuniti Rohingya di negara itu.

Naib Ketuanya, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, jenayah kemanusiaan ke atas masyarakat Muslim itu seolah-olah dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian sewajarnya.

“Tindakan menghalau dan membunuh yang juga didalangi pelampau Buddha di negara itu begitu melampaui batas.

“Kerajaan Malaysia juga perlu memberi perhatian serius dalam memberi tekanan politik dan ekonomi kepada Myanmar,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata, salah satu tindakan dicadangkan ialah mengusir duta Myanmar selagi hak kewarganegaraan dan kehidupan masyarakat Rohingya dinafikan.

“Sebelum ini pun apabila NGO dan parti-parti politik hantar memorandum, pihak kedutaan Myanmar tak layan.

“Tahun lepas contohnya, pegawai mereka tak turun, pintu pejabat tak dibuka semasa pemimpin dan aktivis sosial mahu menyerahkan memorandum,” jelasnya.

Mohd Fakhrulrazi Mohd MokhtarMenurutnya, dasar lain seperti menyekat kemasukan warganegara dari Myanmar juga perlu dilaksanakan termasuk dalam sektor pekerjaan.

“Kita berhak untuk menyekat pekerja dari Myanmar. Bahkan sikap ganas mereka dapat dilihat pada banyaknya laporan kes bunuh membabitkan warganegara Myanmar,” ujarnya.

Mengulas dasar berkecuali dalam kalangan negara-negara Asean, Fakrulrazi berkata, prinsip itu tidak dinafikan tetapi hal yang membelakangi kemanusiaan tidak boleh didiamkan.

Pada masa sama, beliau menyeru supaya pertubuhan Buddha di negara ini dapat berperanan untuk menyampaikan mesej mahupun tekanan kepada pelampau Buddha di Myanmar untuk menamatkan pembunuhan ke atas umat Islam.

“Saya percaya agama Buddha tidak bersetuju dengan apa jua bentuk keganasan. Oleh itu, kita minta organisasi berkaitan Buddha di negara ini berkongsi idea dan tampil berperanan.

“Penganut Buddha di Malaysia contohnya tidak bersikap seperti mereka di Myanmar. Kita yakin rakan-rakan Buddha di negara ini dalam menyumbang idea dan peranan untuk menamatkan kezaliman dan pembunuhan terhadap masyarakat Islam di Myanmar,” tambahnya lagi

TAGS