Malaysia Dateline

Malaysia mesti waspada jalin hubungan dengan negara jalur ejen AS

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengingatkan kerajaan Malaysia agar berhati-hati dalam hubungan diplomatik dengan beberapa wilayah Arab yang dilihat menyokong Amerika Syarikat (AS) sekali gus mengkhianati perjuangan warga Palestin.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, jalur di wilayah Arab yang terdapat pangkalan-pangkalan tentera AS terutama di negara-negara Teluk diketuai Arab Saudi hampir semua mengiktiraf Israel.

Menurutnya, negara-negara terbabit merupakan proksi AS, Britain, Perancis dan kuasa-kuasa Eropah.

“Ini yang berlaku pada dunia Islam yang menyebabkan perjuangan Palestin diabaikan dan tidak sepenuhnya dibantu.

“Mereka inilah yang dulunya di’install’ oleh British dan berkuasa sehingga sekarang ini. Jalur inilah yang mengiktiraf Israel satu persatu.

“Semasa perang di Iraq dan Syria, jalur negara Arab ini yang membantu AS dan negara Barat antaranya menjatuhkan kerajaan Saddam Hussein kemudiannya membantu gologan teroris.

“Ini termasuk golongan yang atas nama jihad sehingga dibawa 40,000 tentera ke Syria untuk menjatuhkan kedudukan Presiden Bashar Al-Assad,” jelasnya mengulas isu semasa politik Timur Tengah.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata demikian dalam wawancara eksklusif menerusi FB Live Malaysia Dateline hari ini.

Untuk rekod, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain masing-masing negara Teluk Parsi serta negara Arab di Afrika seperti Sudan dan Maghribi telah mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel.

Pemerhati politik berpendapat aspek ekonomi dan pertahanan antara faktor utama tindakan negara-negara Arab mahu mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel demi kelangsungan rejim pemerintahan masing-masing.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga bekas Timbalan Presiden Pas itu berkata, jalur yang enggan mengiktiraf Israel terdiri daripada Iran, Iraq, Syria serta Lubnan.

Beliau berpendapat negara-negara jalur baharu iaitu Iran, Iraq, Syria dan Lubnan kesemuanya tidak mengiktiraf Israel.

“Oleh sebab itu, Malaysia hendaklah berhati-hati apabila membuat hubungan dengan kerajaan Saud, bukan dengan rakyatnya. Rakyat Saudi tidak bersalah.

“Kerajaan Saudi dan kerajaan-kerajaan Teluk ini menjadi ejen atau di bawah naungan AS untuk mengiktiraf Israel,” tegasnya.

Semakin goyah

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat negara-negara Arab yang bersama AS akan semakin goyah ekoran lunturnya kuasa Barat sekali gus Israel.

Dalam masa sama, negara-negara jalur baharu yang mengancam Israel akan berdepan peningkatan tekanan Israel seperti Syria yang diserang hari demi hari .

“Negara-negara Teluk ini, satu persatu akan mengiktiraf Israel kerana mereka ini mendapat kerajaan yang di’install’ oleh pihak British, Amerika Syarikat dan Perancis di bawah naungan Anglo Amerika dan Eropah.

“Namun, saya yakin dengan kuasa Barat yang berpindah ke Timur, AS dan negara-negara Eropah semakin lemah, Israel juga akan semakin lemah.

“Kita lihat negara-negara Arab ini akan terus bergolak kerana mereka merdeka bukan dalam erti kata sebenar.

“Pemerintah-pemerintah mereka sekarang ini bukan sepenuhnya diiktiraf oleh rakyat dan rakyat mereka sedang berjuang membebaskan tanah air mereka.

“InsyaAllah, rakyat mereka akan bangun membebaskan negara masing-masing daripada cengkaman AS dan Eropah yang sedang bermaharajalela.

“Selepas pembebasan itu berlaku, maka Baitulmaqqadis dan tanah milik Palestin akan dapat dibebaskan,” kata Mohamad lagi.

Awal tahun lalu, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh ketika dialog tertutup bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Putrajaya berkata, lebih 40 peratus tanah milik Palestin akan dijadikan wilayah Israel melalui pelan damai tajaan AS yang digelar “Deal of the Century (DOTC).

Tambah Ismail, hak warga Palestin terus dinafikan apabila terdapat sejumlah 750,000 peneroka haram Israel dan lebih separuh darinya di Tebing Barat.