Malaysia Dateline

Malaysia milik kita semua, perlu dijaga dengan baik

Malaysia merupakan sebuah negara berbilang bangsa yang telah lama merdeka iaitu sejak 31 Ogos 1957. Negara ini unik adalah kerana sistem pemerintahan negara ini yang mewujudkan layanan yang sama rata kepada semua kaum di negara ini.

Perkara ini diperkukuhkan dengan wujudnya Perlembagaan negara Malaysia yang memperuntukkan secara terang tentang dasar kerajaan negara ini yang meraikan semua kaum yang ada.

Keunikan negara ini juga adalah walaupun rakyat negara ini terdiri dari pelbagai bangsa, agama dan kepercayaan, mereka dapat hidup bersatu padu dalam sebuah negara.

Namun, hari ini sudah ada golongan yang semakin berani mempertikai dan mempersenda perkara yang sensitif sehingga mampu memporak perandakan keamanan negara yang dibina oleh pemimpin terdahulu.

Kita tetap berharap ada segelintir bukan Melayu yang masih peka tentang sifat hormat menghormati antara satu sama lain agar wujudnya persefahaman yang mampu membawa keharmonian.

Cuma sebagai rakyat tanpa mengira bangsa, kita sudah pasti perlu menghormati dan punya rasa sayang pada identiti negara yang menjadi elemen kebersamaan kita selama ini. Antara identiti negara kita ialah Lagu Kebangsaan (Negaraku), Bendera Malaysia (Jalur Gemilang) dan juga Jata Negara.

“Negaraku” bukan sahaja untuk membangkitkan semangat patriotik terhadap negara bahkan ianya melambangkan sosiobudaya serta memaparkan cita-cita, hasrat dan harapan bangsa negara berkenaan.

Kita boleh mengukur sejauh manakah tahap patriotisme rakyat Malaysia dengan memerhatikan sikap mereka terhadap lagu kebangsaan. Sejak di bangku sekolah kita didedahkan nyanyian lagu Negaraku.

Sebagai anak muda mungkin kami hanya berkempatan menyanyikan lagu Negaraku semasa menjadi penonton perlawanan bola sepak di stadium saja.

Jalur Gemilang pula merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan dan martabat bagi sebuah negara.

Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air. Bendera ditakrifkan sebagai sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan yang juga dikenali sebagai panji dan obor.

Sebelum ini ada golongan yang agak biadap menterbalikkan panji Jalur Gemilang sekaligus dilihat ia sebagai mencabar kedaulatan negara kita.

Cerita soal Jata Negara hari ini semakin hangat dibicarakan apabila ada mereka yang berani mencabar dengan mengubah rupa bentuk menjadi satu imej yang tidak boleh diterima masyarakat. Jata Negara Malaysia merupakan lambang Persekutuan Tanah Melayu yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952.

Jata Negara (National Emblem) ini sebenarnya membawa maksud tentang penyatuan serta pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.

Oleh itu, rakyat Malaysia seharusnya menghargai jata negara kerana ia merupakan identiti negara Malaysia dan merupakan pemangkin semangat patriotik dalam setiap rakyat Malaysia. Perkara ini juga menjadi satu kebanggaan bagi setiap rakyat dan menjamin kedaulatan negara.

Sewajarnya kita sebagai rakyat Malaysia perlu sedar akan tanggungjawab kita tanpa mengira bangsa untuk menanam dalam diri sifat sayangkan negara dengan menghormati dan menjunjung identiti serta kedaulatan negara.

Jika ada perlakuan keterlaluan dari sesiapapun kerajaan dan pihak berkuasa wajib mengambil tindakan tegas terhadap mereka termasuk mempertimbangkan agar mereka ini dilucutkan hak kewarganegaraan kerana sifat keterlaluan dan biadap ini sangat tidak boleh diterima majoriti rakyat Malaysia yang mahukan keharmonian negara tidak digugat sesuka hati.

—————————–
Penulis adalah pelajar UITM Shah Alam.