Malaysia Dateline

Malaysia negara pertama anjurkan himpunan Solidariti Kedamaian, kata Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memaklumkan, Perhimpunan Solidariti Kedamaian yang berlangsung pagi tadi merupakan yang pertama dianjurkan di dunia.

Beliau berkata, perhimpunan sedemikian menjadi kebanggaan bagi seluruh rakyat di negara ini, kerana sejak berlakunya serangan di Christchurch pada 15 Mac lalu, Malaysia merupakan negara pertama yang menganjurkan program seperti itu.

“Hari ini kita dapat lihat bukan sahaja satu kaum, bangsa, agama yang hadir, malah terdiri daripada pelbagai jenis kaum, agama dan kepercayaan sama ada mereka Islam atau pun bukan Islam.

“Dalam perhimpuan ini, kita juga ada semua pemimpin agama yang berucap mewakili agama mereka. Tujuan ucapan itu adalah, untuk mewakili hasrat seluruh rakyat Malaysia bahawa kita memilih jalan kedamaian.

“Sebab dalam media sosial yang menguasainya adalah suara kebencian, suara fitnah, suara pembohongan, meniup kebencian agama… tetapi hari ini suara yang selama ini diam, telah keluar dan menyatakan kedamaian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perhimpunan berkenaan.

Perhimpunan itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy; Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad dan juga Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Dalam program sama, turut kelihatan ialah Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage, Duta Turki ke Malaysia, Dr Merve Safa Kavakci dan wakil Suruhanjaya Tinggi Australia, Andrew Goledzinowski.

Himpunan yang menggunakan simbol burung merpati putih berlatarbelakangkan bunga raya sebagai simbol kedamaian itu, turut disertai anggota persatuan pelbagai agama, antaranya Sikh, Taoism, Buddha, Krisitan, Hindu dan Islam selain lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).