Malaysia Dateline

Malaysia nilai potensi pelaburan di Uzbekistan, termasuk dalam sektor pelancongan

Malaysia sedang menilai potensi pelaburan di Uzbekistan selain menggalakkan negara Asia Tengah itu mendapatkan lebih banyak produk dan perkhidmatan Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan, Hendy Assan, berkata menerusi pembaharuan yang diperkenal oleh Presiden Shavkat Mirziyoyev, yang mengambil alih jawatan pada Disember 2016, hubungan mesra dua hala antara kedua-dua negara boleh dipertingkat dengan meneroka potensi dalam setiap sektor yang mungkin.

“Pembaharuan yang berlaku di negara ini sememangnya telah menyebabkan Uzbekistan menjadi perhatian antarabangsa, terutama pembaharuan dalam bidang ekonomi.

“Memandangkan Perdana Menteri kita Tun Dr Mahathir Mohamad telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan hubungan diplomatik dengan negara-negara Asia Tengah termasuk Uzbekistan, terdapat fokus yang diperbaharui untuk memperkasa kerjasama dengan negara-negara Asia Tengah,” katanya kepada Bernama dalam satu kenyataan bertulis di sini pada Rabu.

Hendy berkata pelancongan Uzbekistan telah menjadi satu sektor penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara itu.

“Memandangkan Uzbekistan adalah sebuah negara yang begitu cantik dengan kepelbagaian dan kekayaan budaya, warisan bersejarah serta lanskap yang menakjubkan, produk pelancongannya mempunyai potensi besar untuk terus diperkembang sehingga menjadi antara destinasi terbaik bagi pelancong.

“Pelancongan adalah satu sumber pendapatan dan menjana peluang pekerjaan. Bagi membolehkan sesebuah negara meraih manfaat dalam industri pelancongan untuk membangunkan ekonominya, ia memerlukan kebolehdapatan pelaburan bagi membangunkan infrastruktur yang diperlukan dan keupayaan negara membekalkan keperluan pelancong,” katanya ketika diminta mengulas penganjuran sulung “Forum Pelaburan Antarabangsa dalam Pelancongan” yang diadakan di ibu kota Uzbekistan dari 19 hingga 21 Nov.

Dianjurkan oleh Jawatankuasa Negara bagi Pembangunan Pelancongan Uzbekistan, forum itu — yang pertama seumpamanya pernah diadakan di negara tersebut — bertujuan memperluas kerjasama dalam industri pelancongan, menarik pelaburan langsung dan mempromosi potensi negara berkenaan dalam kalangan pelabur berpotensi.

Bernama merupakan satu-satunya wakil media Asia Tenggara yang menghadiri forum itu atas jemputan kerajaan Uzbekistan.

Menyentuh pelancongan di negara itu, Hendy berkata terdapat beberapa bidang yang perlu diperbaiki dan diberi perhatian oleh industri pelancongan Uzbekistan.

“Produk pelancongan Uzbekistan bertambah baik dengan begitu pantas dari segi infrastruktur dan kemudahan. Saya percaya lebih banyak tumpuan perlu diberikan kepada peningkatan aksesibiliti untuk pelancong datang ke Uzbekistan, terutama dalam meningkatkan ketersediaan penerbangan.

“Sebagai contoh, terdapat dua penerbangan setiap minggu dari Kuala Lumpur ke Tashkent. Dengan peningkatan jumlah penerbangan, terdapat potensi untuk melihat lebih ramai rakyat Malaysia melawat Uzbekistan,” katanya.

Jumlah pelancong Malaysia yang melawat Uzbekistan meningkat sebanyak 30.2 peratus kepada 1,069 orang bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Bagi tempoh yang sama pada 2017, terdapat hanya 821 pelancong dari Malaysia. Sebaliknya, jumlah rakyat Uzbekistan yang berkunjung ke Malaysia adalah lebih ramai, dengan 11,000 orang melancong ke negara ini antara 2016 dan 2017.

Kira-kira 240 wakil pelbagai institusi kewangan antarabangsa, pelabur berpotensi, organisasi pelancongan, syarikat terkemuka pelancongan, ahli dan pakar lain menghadiri forum itu bersama-sama usahawan tempatan.

Mereka adalah dari Amerika Syarikat, Indonesia, Malaysia, Singapura, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu.

Diterjemah dan disunting oleh Sabarina Baharom

— BERNAMA