Malaysia-Pakistan akan kaji hubungan dua hala dan kerjasama dalam bidang baharu

Malaysia-Pakistan akan kaji hubungan dua hala dan kerjasama dalam bidang baharu

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan akan mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatannya Tun  Dr Mahathir Mohamad bagi mengkaji semula hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara serta mengenal pasti bidang baharu untuk kerjasama pada masa hadapan.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata lawatan tersebut mencerminkan kepentingan hubungan dua hala antara Malaysia dan Pakistan.

Menurut kenyataan itu, Imran Khan akan diberikan sambutan rasmi sebelum menghadiri mesyuarat dengan Dr Mahathir di Pejabat Perdana Menteri, diikuti dengan mesyuarat delegasi.

Selepas mesyuarat dua hala itu, Dr Mahathir dan Imran Khan akan menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Bersama Penghapusan Visa (Separa) antara kerajaan Malaysia dan Pakistan di Pejabat Perdana Menteri.

Wisma Putra berkata Imran Khan dijadual menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah, yang menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri Pakistan itu juga dijadual mengadakan lawatan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Pada 2017, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara dicatatkan pada RM5.76 bilion, peningkatan 3.5 peratus berbanding pada 2016.

Pakistan adalah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

Malaysia memberi sambutan permaidani merah kepada Perdana Menteri Pakistan itu  yang tiba di sini, untuk memulakan lawatan rasmi dua hari ke negara ini.

Pesawat khas membawa perdana menteri Pakistan itu dari Karachi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 11.35 malam tadi

Ketibaan beliau di Kompleks Bunga Raya, KLIA, itu disambut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik, selaku Menteri Pengiring.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Luar Senator Datuk Marzuki Yahya dan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Muhammed Nafees Zakaria.

Lawatan itu adalah atas jemputan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan ia lawatan rasmi sulung Imran Khan ke negara ini sejak dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos lepas. -Bernama.