Malaysia Dateline

Malaysia, Pakistan meterai Perjanjian Ekstradisi

Malaysia dan Pakistan hari ini memeterai satu Perjanjian Ekstradisi bagi mengukuhkan momentum positif dalam hubungan dua hala dengan meningkatkan kerjasama melibatkan keselamatan dan jenayah transnasional.

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perjanjian itu yang dimeterai di sini sempena dengan lawatan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan ke Malaysia, boleh diguna pakai ke atas pengganas dan penjenayah.

“Jika mana-mana penjenayah melakukan jenayah di Malaysia perlu berlindung di negara lain, menerusi ekstradisi ini, kita boleh mendapatkan negara berkenaan bagi membantu kita menangkap penjenayah berkenaan. Ia mungkin melibatkan pengganas atau penjenayah. Sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan di Malaysia dan ingin mendapatkan suaka,” katanya pada persidangan akhbar bersama di sini, hari ini.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan pada persidangan akhbar itu selepas mengadakan perbincangan dengan Dr Mahathir berkata, terdapat penjenayah warga Pakistan di Malaysia yang terbabit dalam pembunuhan telah diekstradisi dari Malaysia malah sebelum perjanjian itu diwujudkan.

Sebagai dua buah negara Islam yang pentingkan keamanan, Dr Mahathir berkata Malaysia dan Pakistan bersetuju untuk meningkatkan usaha kerjasama bagi memartabatkan nilai sebenar Islam dan pada masa yang sama mengukuhkan kedaulatan ummah Islam itu sendiri.

–BERNAMA