Malaysia Dateline

Malaysia pastikan momentum hubungan dengan Thailand kekal tinggi

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Malaysia akan memastikan momentum semasa hubungan dua hala dengan Thailand kekal pada tahap yang tinggi.

Beliau yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Thailand berkata Malaysia menyatakan komitmen kepada negara jiran tersebut untuk meneruskan proses perbincangan dalam pelbagai isu berkepentingan bersama, demi manfaat dan kesejahteraan kedua-dua negara.

Jelasnya, lawatan julung kali yang dibuat beliau sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Mei lalu susulan kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 9 Mei lalu, telah mencapai objektif dalam mengukuhkan lagi kerjasama erat yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan Thailand.

“Sebagai kerajaan baharu, kita telah berjaya menonjolkan dasar-dasar baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan khususnya dalam menggiatkan lagi kerjasama dua hala kita dengan negara-negara jiran di Asia Tenggara, terutamanya Thailand, ” katanya kepada media Malaysia, sebelum berlepas pulang ke Malaysia petang ini bagi mengakhiri lawatannya ke negara ini.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada pagi tadi telah menyempurnakan majlis pelancaran maya untuk membuka loji rawatan air hasil usaha sama antara Ranhill Holdings Berhad (Malaysia) dan Amata Water Company Limited (Thailand).

Projek tersebut dinamakan “7 MLD (million liters per day) Reclamation Water Treatment Plant” yang bertempat di Amata City Industrial Estate, Wilayah Rayong, Thailand.

Menurut beliau, projek usahasama sektor swasta dari Malaysia dan Thailand itu membuktikan bahawa Malaysia mempunyai keupayaan dan kepakaran yang tinggi dalam pelbagai bidang seperti proses rawatan air yang boleh ditawarkan kepada negara-negara lain di rantau ini.

Beliau kemudiannya mengadakan perbincangan dengan Pengerusi dan juga ahli-ahli Jawatankuasa Tetap Bersama mengenai Perdagangan, Industri dan Perbankan (JSCCIB), yang mewakili tiga organisasi swasta yang bertumpu kepada sektor perdagangan, industri dan perbankan di Thailand, iaitu Thai Chamber of Commerce (TCC), Federation of Thai Industries dan Thai Bankers’ Association.

Pada pertemuan tersebut, katanya, beliau telah menyatakan hasrat kerajaan untuk menggalakkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara, khususnya perdagangan dan pelaburan di persempadanan Malaysia.

“Jumlah perdagangan kita dengan Thailand di sempadan sahaja adalah melebihi 60 peratus daripada jumlah dagangan dua hala Malaysia-Thailand. Kita juga telah berbincang dengan mereka mengenai peluang-peluang pelaburan yang ada di Malaysia dan menjemput mereka untuk meningkatkan pelaburan di negara kita.

“Saya juga turut menyatakan sokongan saya terhadap usaha kedua-dua buah negara untuk memudahcara urusan perdagangan melalui usaha untuk mengadakan ‘seamless connectivity’ di kawasan sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.

Dr Wan Azizah turut melawat Organisasi Pemasaran Petani-Petani Thailand atau dikenali sebagai Or Tor Kor yang diiktiraf oleh CNN Travel sebagai Pasar Segar ke-4 Terbaik Dunia pada 2017 selepas pasar La Boqueria, Barcelona; Tsukiji Fresh Market, Jepun; dan Union Square Farmer’s Market, New York.

Di pusat tersebut, Timbalan Perdana Menteri dan delegasi termasuk Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub, Timbalan Menteri Luar Negeri Senator Datuk Marzuki Yahya dan Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel telah diberikan taklimat berhubung pengurusan Or Tor Kor serta mengadakan lawatan tapak untuk melihat aktiviti-aktiviti pengedaran, perniagaan dan sebagainya bagi produk-produk pertanian di Thailand.

Katanya menerusi lawatan tersebut, Malaysia melihat banyak yang boleh dipelajari dan dikongsikan bersama dengan Thailand mengenai usaha meningkatkan lagi industri pertanian negara.

Beliau turut mengadakan perjumpaan dengan diaspora Malaysia yang berada di Bangkok.

Pada sesi ramah mesra tersebut, Dr Wan Azizah turut menyampaikan penghargaan kerajaan terhadap sokongan yang diberikan kepada dasar-dasar yang telah diperkenalkan di bawah kerajaan baharu serta memaklumkan aspirasi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rasuah.