Malaysia Dateline

Malaysia perbaiki kedudukan dalam Indeks Keselamatan Makanan Global

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) naik kepada tangga ke-21 tahun ini berbanding tangga ke-48 tahun lepas, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Katanya pencapaian amat membanggakan itu didorong komitmen kerajaan yang dapat memberi jaminan terhadap simpanan stok makanan.

“Kemudian kita juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada import dengan menggalakkan mempelbagaikan tanaman, tanaman kontan, selain meningkatkan eksport yang sebahagiannya adalah dalam sektor buah-buahan,” katanya dalam sidang media selepas Program ‘Jom Back to School’ Peringkat Parlimen Pulai, hari ini.

Salahuddin berkata dengan pencapaian terbaharu itu, pihaknya beriltizam untuk mencapai kedudukan yang lebih baik pada tahun depan dengan menfokuskan kepada penambahbaikan terhadap semua sektor terutama agro makanan.

Menyentuh isu lain, beliau berkata pihaknya memberi pampasan kepada golongan petani dan pesawah yang mengalami kerugian akibat kawasan pertanian dilanda banjir baru ini-ini.

Katanya pampasan akan diberi selepas pihaknya menerima laporan penuh daripada pegawai yang turun padang menyiasat jumlah mereka yang terkesan.

“Kita akan beri sedikit pampasan mengikut kawasan bencana yang dialami dan penyiasatan pula dilakukan bersama agensi seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Terengganu Utara (Ketara),” katanya.

Beliau berkata selain itu, pihaknya juga telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk bekalan makanan kepada mangsa banjir di negeri Kelantan dan Terengganu.

Peruntukan itu meliputi RM2 juta dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan RM1 juta daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

“Sekiranya terjadi fasa banjir kedua, kementerian akan mempertimbang untuk menambah peruntukan terbabit,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pulai.

Terdahulu, program melibatkan seramai 1,100 murid itu merupakan anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang mana setiap penerima diberi baucar bernilai RM200 untuk membeli barangan kelengkapan sekolah.

— BERNAMA