Malaysia Dateline

Malaysia perbaiki reputasi dalam indeks rasuah

Malaysia berjaya memperbaiki reputasi dalam indeks rasuah di kedudukan ke-51 daripada 180 negara meningkat 10 anak tangga mengikut laporan badan ketelusan antarabangsa, Transparency International – Malaysia (TI-M).

Presiden TI-Malaysia, Dr Muhammad Mohan, berkata, Malaysia memperoleh markah 53 daripada 100 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019 yang dikeluarkan hari ini oleh kumpulan anti rasuah tersebut.

Untuk rekod, skor dalam CPI ditentukan mengikut tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala sifar (dianggap paling rasuah) kepada 100 (paling bersih).

Beliau berkata, statistik itu diiktiraf lebih baik berbanding dari tahun 2018 di mana negara menduduki tangga ke 61 dengan markah sebanyak 47 daripada 100.

“Pemulihan ini dengan peningkatan 10 langkah dalam ranking antarabangsa disebabkan tindakan segera yang diambil kerajaan menangani skandal 1MDB, SRC, Felda dan Tabung Haji.

“Ini diikuti dengan penangkapan beberapa tokoh politik yang kemudiannya didakwa SPRM atas kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram.

“Faktor lain menyumbang kepada peningkatan tersebut adalah kerana kebebasan media yang lebih tinggi dan pengisytiharan aset oleh anggota parlimen kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam majlis semasa membentangkan Indeks terkini Persepsi Rasuah 2019, di Card Room, Kelab Diraja Selangor, hari ini.

Muhammad Mohan turut mendedahkan keyakinan PH membanteras rasuah disebakan komitmen PH yang melaksanakan Pelan Anti Rasuah untuk mencapai aspirasi agar Malaysia dikenali sebagai negara berintegriti dan bebas rasuah.

Sementara itu, Malaysia muncul di kedudukan ke 5 antara negara-negara Islam di mana Negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) berada di tangga teratas dengan perolehan markah 71 daripada 100 sekaligus meletakkan di ranking 21 antara negara.

Di tangga kedua pula ialah Qatar dengan skor 62, ranking 30; Brunei dengan skor 60, ranking 35; diikuti dengan Negara Arab Saudia dan Malaysia yang masing-masing memperoleh mata dan kedudukan sama dengan jumlah skor 53 dan berada di kedudukan 51 antara negara.

Tahun 2019 juga, meletakkan Negara Denmark dan New Zealand tergolong dalam indeks tertinggi dengan 87 mata masing-masing yang diiktiraf sebagai ‘negara bersih’.

Manakala Syria, Sudan Selatan dan Somalia berada di bahagian bawah indeks, dengan masing-masing mencatat skor 13, 12 dan 9.

Untuk rekod, gabungan hari ini mengeluarkan Indeks CPI 2019, yang membabitkan 13 kaji selidik dan penilaian pakar yang mengukur tahap rasuah di dalam sektor awam di 180 negara dan wilayah di dunia.

Melangkah ke hadapan untuk meningkatkan lagi kedudukan Malaysia, Mohan menyarankan agar kerajaan mempercepat pembaharuan institusi dengan menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih bebas.

“Sementara itu, kerajaan perlu membuat undang-undang pembiayaan politik untuk menghentikan amalan politik wang.

“Kerajaan juga perlu melibatkan diri dengan program bersama masyarakat awam untuk mendedahkan pencapaian terkini kerajaan.

“Pelan Anti Rasuah Kebangsaan mempunyai 115 inisiatif dan dipercayai bahawa sehingga akhir tahun 2019, sebanyak 22 inisiatif telah selesai,” ujarnya.