Malaysia Dateline

Malaysia perlu bangunkan ‘niche’ ekonomi, industri makanan patut jadi tumpuan

Perwakilan dalam Kongres AMANAH di Melaka semalam mencadangkan agar Malaysia membangunkan ekonomi tersendiri atau ‘niche economy’ dalam pertandingan merebut ekonomi dunia.

Perwakilan dari Selangor, Azli Yusof, ketika membahaskan Pidato Presiden mencadangkan supaya Malaysia membangunkan ‘niche economy’ untuk mengambil manfaat penuh dari keunikan yang ada di negara ini.

Menurut beliau, Jerman adalah contoh betapa ‘niche economy’ yang berasaskan IKS dan kejuruteraan tinggi (premium engineering) berjaya menjadikan negara itu sebagai gergasi ekonomi Eropah.

Belanda juga berjaya membina ‘niche economy’ mereka berasaskan pertanian berteknologi tinggi dan inovatif sehingga mampu menjadi salah satu negara pengeluar makanan utama dunia.

Dubai banyak belajar dari Singapura untuk membangunkan ‘niche economy’ mereka sehingga negara itu mampu keluar dari bergantung penuh terhadap sektor minyak sebagai sumber pendapatan negara.

‘Niche economy’ adalah penting untuk negara bersaiz kecil seperti Malaysia.

Bagi penganalisis, Jamzuri Ardani, negara tidak akan mampu bersaing dari sudut ‘economics of scale’, ‘domestic consumption’ dan ‘mass production’.

Jamzuri ketika mengulas isu ini berkata, ketiga-tiga ekonomi di atas adalah liga untuk negara-negara gergasi seperti China, Amerika Syarikat, India, Brazil dan seumpamanya.

“Negara-negara kecil lain seperti Estonia, New Zealand, Switchzerland, Qatar, dan Taiwan sudah mula memajukan sektor ‘niche economy’ mereka jauh lebih awal dari kita, tetapi kita masih tercari-cari halatuju yang sesuai.

“Apakah bentuk ‘niche economy’ yang sesuai buat Malaysia?” tanya beliau ketika mengulas perbahasan perwakilan AMANAH dari Selangor itu.

Seorang netizen ketika mengulas pandangan beliau, Othman Mohd Noor berkata manusia di seluruh dunia bertambah bilangan secara exponential growth menjadikan sumber makanan amat berkurangan.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar bidang pengeluaran makanan menjadi ‘niche economy’ kepada negara kita.

“Malaysia seharusnya menumpukan perhatian kepada usaha mengeluarkan makanan samada makanan berasaskan pertanian sedia ada seperti sawit atau berasaskan ternakan bintang halal seperti lembu, kerbau, kambing, ayam itek dan sebagainya,” kata beliau.

Namun, masalah yang negara hadapi adalah, pemimpin sibuk memikirkan bagaimana untuk mengekalkan kuasa hingga menteri tidak berkesempatan untuk memikirkan semua isu berkaitan dengan kebajikan rakyat.

“Apatah lagi mereka nak fikirkan soal nich economy . Jauh sekali,” kata beliau.

Seorang lagi pembaca mengulas, “Walaupun sudah 63 tahun merdeka, jangan kata kerajaan rakyat pun masih tidak faham tentang ekonomi dan sistem ekonomi.

“Umno BN dan PN akan terus menerus membangangkan rakyat dengan ketaksuban dan kecelaruan pemikiran supaya pemimpin atasan boleh terus kaya mengkayakan dengan songlap melalui projek-projek yang kosnya dimahalkan,” kata Jaafar Malek.