Malaysia Dateline

Malaysia perlu capai konsensus nasional baharu untuk pulih ekonomi

Veteran DAP,  Lim Kit Siang berkata, rakyat Malaysia mahukan negara membina konsensus nasional baharu selepas 60 tahun usia pembinaan negara, agar Malaysia bersedia untuk memulihkan ekonomi selepas wabak Covid-19 reda.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, jumlah terkumpul kes Covid-19 diramalkan akan meningkat kepada 175,000, 230,000 dan 300,000 masing-masing pada Januari, Februari dan Mac.

Menurutnya, harapan untuk melihat kes positif menurun pada suku pertama atau kedua tahun depan adalah tidak menyakinkan, berdasarkan jadual penghantaran bekalan vaksin pertama ke Malaysia yang dijangka akan diterbangkan hanya pada Februari ini.

“Adalah sangat penting untuk kerajaan Muhyiddin akhirnya mengakui dan mengguna pakai strategi dan pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” untuk menangani pandemik Covid-19 di Malaysia.

“Rakyat Malaysia memerlukan konsensus nasional yang baharu yang memperlihatkan Malaysia bersedia untuk memulihkan ekonomi negara selepas wabak Covid-19 reda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama katanya, kadar yang diramalkannya adalah jauh lebih rendah berbanding ramalan Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan Amerika Syarikat (IHME).

Agensi tersebut menjangkakan akan berlaku peningkatan berterusan kes Covid-19 di Malaysia sehingga pertengahan Mac 2021, dengan lebih daripada 5,000 jangkitan setiap hari bermula dari 25 Februari 2021.