Malaysia Dateline

Malaysia perlu contohi Indonesia tutup perniagaan minuman keras

Mendengar keputusan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menarik balik kebenaran Peraturan Presiden (Perpres) berhubung pembukaan perniagaan baharu dalam industri minuman keras yang mengandungi alkohol amat menggembirakan seluruh umat Islam dan juga bukan Muslim.

Keputusan tersebut, kata Jokowi, diambil setelah menerima pandangan daripada ulama seperti Majelis Ulama Indonesia (MUI), Nahdatul Ulama, Muhammadiyah serta organisasi kemasyarakatan (ormas).

Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, sebagai negara Islam terbesar populasinya sudah pasti keputusan tersebut membawa mesej yang amat besar ertinya serta memberi semangat yang kuat pada masyarakat.

“Sememangnya, patut telah lama arak yang begitu ketara membawa mudarat kepada masyarakat dari aspek kesihatan, keselamatan dan keruntuhan sosial dan ekonomi perlu dibasmikan dari terus berleluasa.

“Malaysia sepatutnya meneladani sikap Indonesia dan mengambil pengajaran tersebut serta mengambil langkah yang sama demi melindungi rakyat dari pelbagai masalah ekoran minuman keras yang jelas terbukti membawa lebih banyak kesan negatif dari pelbagai aspek.

“Mesej yang dibawa oleh Jokowi amat jelas iaitu negara tidak perlu kepada industri arak untuk maju kerana kemajuan negara perlu diukur dari sudut sejauhmana industri yang merosakkan dapat dibasmi dan diatasi,” ujar beliau.

Sejajar dengan itu kata Mohd Azmi, Malaysia perlu mengambil langkah berani dengan mengikut jejak Indonesia untuk membuktikan bahawa minuman keras tidak sama sekali membantu membangunkan negara.

Terdahulu, Ketua Bidang Fatwa MUI, Asrorun Niam Sholeh menggesa pihak pemerintah menarik balik peraturan mengenai pembukaan perniagaan minuman keras.

Jelasnya, desakan MUI itu berlandaskan usaha menciptakan ketertiban dan kesejahteraan masyarakat.