Malaysia Dateline

Malaysia perlu kerajaan yang stabil

Pengerusi Penggerak Melayu Kebangsaan Mohd Azmi Abdul Hamid mengesa agar sebarang langkah menubuhkan kerajaan baharu perlu menjamin urustadbir negara yang stabil, kukuh dan meyakinkan dunia.

Beliau berkata, pengumuman Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa memperoleh sokongan Ahli Parlimen mencukupi untuk menubuh kerajaan, perlu diteliti dengan halus demi mewujudkan sebuah negara yang makmur di tangan kerajaan yang kukuh.

Jelasnya, perubahan kerajaan pusat sebelum ini yang menyaksikan Ahli Parlimen berpaling tadah dan bergabung untuk membentuk kerajaan baharu atas nama Perikatan Nasional, bukan amalan politik yang sihat.

“Amalan melompat parti setelah rakyat memberi mandat kepada wakil rakyat yang menang dalam PRU 14 adalah amalan buruk yang bakal diteladani oleh ahli politik muda di masa mendatang.

“Kerajaan asal yang dipileh oleh rakyat perlu didaulatkan supaya amalan lompat parti tidak lagi boleh dibenarkan.

“Kami menegaskan bahawa kepentingan negara yang stabil dan kerajaan yang kukuh adalah paling kritikal untuk ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Mohd Azmi turut menegaskan, ketika mana kerajaan ditegakkan dalam keadaan ahli politik sekali lagi berubah pendirian, kerajaan tidak mungkin boleh mentadbir dengan lancar.

Katanya, mereka yang meneraju kerajaan perlu memastikan bahawa kepentingan diri dan membolot kekayaan tidak menjadi agenda tersirat untuk merampas kuasa.

“Dalam keadaan krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19 sekaligus ekonomi yang terjejas, peralihan kerajaan perlu memastikan jaminan keselamatan dan kestabilan kerajaan yang kukuh untuk mengemudi negara,” katanya lagi.