Malaysia perlu kerjasama semua pihak capai perpaduan nasional

Malaysia perlu kerjasama semua pihak capai perpaduan nasional

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Malaysia memerlukan kerjasama semua pihak dalam usaha mencapai perpaduan nasional dan memenuhi aspirasi bagi membina sebuah negara yang lebih baik untuk generasi masa kini dan masa depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Kerajaan tidak boleh mencapai semua ini dengan sendirinya, katanya dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.my, hari ini bagi memperingati legasi Perdana Menteri Kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia empat dekad lalu pada 14 Januari 1976 kerana mengidap luekimia.

Salleh berkata, beberapa tahun akan datang menjadi tempoh yang sangat kritikal untuk dunia keseluruhan, dan ini termasuk Malaysia.

“Oleh itu kita perlu bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan negara juga kepada bagaimana untuk memperkukuhkan ekonomi dan mengurangkan politik perkauman dan agama, jika tidak dihapuskan, semuanya bersama-sama,” katanya.

Salleh berkata, Tun Razak, yang dikenali sebagai ‘Bapa Perpaduan’ selepas kejadian rusuhan kaum tahun 1969, dikenali sebagai ’13 Mei, mengilhamkan idea Barisan Nasional(BN) supaya semua parti politik di Malaysia boleh bersatu di bawah satu gabungan dan semua orang boleh memberi tumpuan kepada pembinaan negara bangsa dan mengurangkan politiking.

“Hasrat Tun Razak adalah untuk mengurangkan permusuhan politik dan memberi tumpuan kepada negara dan masa depannya. Tun Razak percaya bahawa seseorang itu masih boleh menjadi seorang gentleman dalam politik dan tidak melayani musuh politik sebagai musuh, “katanya.

Salleh berkata, DAP tidak menyertai gabungan ini atau apa yang boleh dipanggil ‘kerajaan perpaduan’ manakala PAS meninggalkan BN selepas hanya beberapa tahun dan kembali untuk menjadi parti pembangkang.

Tun Razak, yang dilahirkan pada 11 Mac 1922, menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 22 Sept, 1970, dan akhirnya diisytiharkan sebagai Bapa Pembangunan. 

 

TAGS