Malaysia Dateline

Malaysia perlu ratifikasi CPTPP untuk pastikan pembangunan ekonomi mampan

Malaysia perlu meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) untuk memastikan pembangunan ekonomi yang mampan pada masa depan, kata Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Ali Salman menyifatkan pakatan itu sebagai satu perjanjian berkualiti tinggi yang bakal memanfaatkan Malaysia kerana dari segi sejarah, pertumbuhan negara sebahagian besarnya adalah didorong oleh keterbukaan perdagangan berbanding pembangunanan infrastruktur.

“Pertumbuhan ekonomi Malaysia sebahagian besarnya adalah didorong oleh dasar perdagangan terbuka,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ceramah bertajuk ‘Dasar Ekonomi Malaysia di bawah Kerajaan Baharu’ dalam Program Taklimat Dasar dan Pengumpulan Rangkaian anjuran Kedutaan Norway di sini baru-baru ini.

Dianggap sebagai alat bagi integrasi ekonomi serantau, CPTPP telah dinamakan semula daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) selepas Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump menarik diri pada Januari 2017.

Perjanjian itu akan berkuat kuasa pada akhir tahun ini apabila tujuh negara anggota iaitu Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura dan Vietnam telah meratifikasikannya.

Ketika ini, hanya Brunei, Chile, Peru dan Malaysia tidak meratifikasi perjanjian itu.

CPTPP adalah satu perjanjian perdagangan dalam kalangan 11 negara yang mempunyai potensi akses ke rantau memiliki lebih 500 juta pengguna dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$10 trilion. (US$1 = RM4.18).

Ali berkata Malaysia telah menjadi sebahagian daripada rantaian nilai dan bekalan global, sebahagian daripada perjanjian-perjanjian perdagangan antarabangsa selain anggota Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) sejak 1 Jan 1995.

Ini telah menjadikan firma-firma Malaysia sebahagian daripada sistem pengeluaran global, katanya.

“Bukan hanya untuk alasan ini tetapi juga kerana CPTPP menghendaki Kerajaan Malaysia menjadi lebih terbuka, lebih telus dan lebih kompetitif serta mempunyai tekanan lebih positif ke atas sektor syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” kata beliau.

Ali berkata adalah penting untuk Malaysia meratifikasi CPTPP memandangkan pakatan itu bukan hanya mengenai perjanjian perdagangan tetapi juga berkaitan peraturan ekonomi dan tadbir urus yang baik.

“Kami percaya ia memberi manfaat kepada Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada perjanjian ini. Terdapat kebimbangan seperti kedaulatan negara tetapi saya fikir semua kebimbangan ini adalah tidak sahih, dan bentuk terkini CPTPP memberikan jaminan yang munasabah kepada kerajaan nasional untuk melindungi kepentingan mereka sendiri,” katanya.

Mengulas isu fahaman perlindungan, Ali berkata firma swasta telahpun mengamalkan dasar terbuka kepada persaingan dan tidak dilindungi.

Bagaimanapun, sebaliknya GLC dan anak-anak syarikat mereka adalah tertakluk kepada perlindungan, kata beliau.

“Kami merasakan bahawa jika kita mengamalkan dasar terbuka, contohnya dalam perkhidmatan, kita mungkin tidak dapat mengekalkan monopoli. Malaysia merupakan sebuah negara di mana kos Internetnya adalah tinggi dengan kualiti paling teruk.

“Ini adalah monopoli. Jadi, kita tidak mampu memberikan yang terbaik disebabkan fahaman perlindungan meskipun memiliki struktur tadbir urus korporat yang agak baik,” katanya.

Ali berkata kerajaan baharu Malaysia komited untuk mengurangkan pemilikan ekuiti kerajaan.

Beliau berkata 100 GLC terkemuka di negara ini memiliki lebih 68,000 anak syarikat.

Katanya bagi meningkatkan pendapatan negara, terdapat keperluan untuk mewujudkan ruang kepada sektor swasta dan pengagihan semula aset yang diperlukan kerajaan dengan lebih berkesan bagi meneruskan sesuatu program dalam usaha mengurangkan jumlah GLC.

Ali berkata perkara ini mungkin boleh dilakukan secara konsisten dengan objektif sosial yang dinyatakan.

“Kerajaan perlu meneruskan sesuatu program pembaharuan seperti mengenal pasti GLC dengan fungsi yang sah dan memperbaiki tadbir urus selain meneroka pilihan untuk penswastaan yang bertanggungjawab, termasuk perusahaan sosial dan pengambilalihan oleh pekerja menerusi pembelian saham syarikat,” katanya.

Diterjemah dan disunting oleh Sabarina Baharom

— BERNAMA