Malaysia Dateline

Malaysia perlu segera tangani masalah Laut China Selatan

Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa kerajaan agar segera menangani masalah Laut China Selatan memandangkan di saat perhatian dunia tertumpu kepada krisis Covid-19, insiden yang berpotensi mencetuskan pergolakan serius antarabangsa melibatkan kuasa besar dunia dan juga Malaysia di kawasan perairan kita sedang berlaku.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, sejak 17 April 2020 lagi kapal Hidrografi milik negara China menggangu dengan mengekori aktiviti kapal explorasi dan penggalian yang disewa Petronas di Laut China Selatan.

Kapal China tersebut katanya, diiringi oleh lebih kurang 10 kapal peronda China lain dan turut berada di sekitar 100 batu nautika adalah beberapa kapal perang Amerika yang baru menjalankan latihan perang dengan negara Jepun.

“Negara China kelihatan mengambil kesempatan pengalihan pandangan dunia akibat krisis wabak Covid-19 sedunia untuk menunjuk kuasa agresif sambil pada masa sama membuat tuntutan dua daerah baru di Laut China Selatan yang melibatkan beberapa kepulauan kecil baru-baru ini.

“Tuntutan lepas pulau-pulau tersebut oleh China kebanyakannya telah ditolak oleh Tribunal Antarabangsa tetapi mereka terus juga membina pengkalan Navy di pulau dikuasai mereka.

“Landasan kapalterbang gred tentera juga telah dibina. Isu ini dilaporkan oleh New York Times,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau, situasi yang tegang dan berpotensi untuk meledak wujud ketika ini di mana Malaysia telahpun membuat pendirian supaya pertikaian diselesaikan cara aman dan baik mengikut saluran diplomasi.

“Kami juga harap rakan-rakan negara ASEAN akan berkerjasama menangani situasi ini kerana wujud kepentingan bersama. Pulau-pulau yang dituntut negara Filipina juga telah diduduki oleh China.

“Kita tidak boleh memandang ringan insiden ini kerana sebelum pada itu insiden provokasi kapal China yang sama dengan negara Vietnam telah mengakibatkan kehilangan lapan nyawa warga Vietnam apabila bot mereka dirempuh kapal peronda China,” tambah beliau.

Katanya lagi, oleh kerana kuasa besar dunia Amerika dan Britain kini bergelut dengan krisis wabak Covid-19, Malaysia perlu mengambil strategi sendiri dengan prioriti rakan berkepentingan bersama ASEAN.

Ujar beliau, negara-negara ASEAN yang mempunyai kepentingan bersama tuntutan di Laut China Selatan telaga minyak dan hasil laut yang bernilai berbillion ringgit patut dibawa bersama dalam rundingan bersama dengan China.

“Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga bekas Menteri Pertahanan, sepatutnya arif dari aspek diplomasi dan juga kepentingan ketenteraan negara.

“Beliau sepatutnya menghubungi rakan-rakan Menteri ASEAN berkenaan bersegera untuk mencari penyelesaian jangka masa panjang bersama China.

“Untuk tindakan segera Malaysia hendaklah juga mengarahkan Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China, yang bertaraf Menteri, untuk ke Beijing bagi memulakan rundingan sebelum situasi menjadi lebih genting dan kritikal,” kata Raja Bahrin.