Malaysia perlu utamakan keberhasilan ekonomi selaku tuan rumah APEC 2020

Malaysia perlu utamakan keberhasilan ekonomi selaku tuan rumah APEC 2020

Malaysia, selaku tuan rumah sidang kemuncak pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 2020, perlu mengutamakan keberhasilan untuk memacu pertumbuhan negara dan serantau serta mewujudkan peluang ekonomi untuk 21 anggota ekonominya.

Tugas itu dilihat bukan mudah ditengah-tengah pelbagai cabaran yang menjejaskan rantau itu ketika ini.

Daripada perang perdagangan sehingga harga minyak mentah dan sentimen pelabur yang merudum di rantau itu, kerajaan APEC perlu menghapuskan kebimbangan dalam kalangan 31 juta penduduknya bahawa mereka “perlu bersama-sama” menerusi usaha bersepadu untuk mencapai matlamat itu dengan perlu menguna pakai teknologi moden secara menyeluruh, serta menggunakan alat komunikasi moden, kata Pengarah Komunikasi dan Hal Ehwal Awam APEC, Michael Chapnick, kepada Bernama.

Sambil mengakui pelbagai cabaran dihadapi ekonomi APEC, beliau menzahirkan keyakinan terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai pengalaman dalam foum serantau itu dan selaku pengerusinya buat kali kedua pada kali ini, selepas kali pertamanya pada 1998, akan mampu menerajui dan memandu pemimpin serantau untuk merumuskan inisiatif negara dan serantau dengan memberi tumpuan kepada penyampaian ekonomi.

Malaysia akan mengambil alih kepengerusian APEC pada majlis penyerahan rasmi yang dijadual berlangsung pada pertengahan November, apabila Chile menamatkan tempoh khidmatnya selaku pengerusi.

Chapnick berkata adalah penting bagi kerajaan menyampaikan mesej itu kepada rakyat untuk memastikan kedua-dua pembuat keputusan, iaitu kerajaan dan penduduk serantau mempunyai pemahaman yang sama tentang apa yang perlu dilakukan untuk memastikan keberhasilan itu dicapai.

“Oleh itu, Tun Dr Mahathir Mohamad ialah pejuang terbaik untuk APEC 2020, dan berdasarkan pengalamannya dalam persidangan serantau itu, boleh mengutarakan keperluan Malaysia dengan baik, apa yang negara mahu capai selaku tuan rumah APEC tahun depan, dan pada masa yang sama mampu menarik perhatian media .

“Adalah penting bagi media untuk bekerjasama rapat dengan Pejabat Perdana Menteri supaya terus mendapat maklumat tentang aktiviti dalam kalendar Malaysia dan keutamaannya untuk APEC 2020,” katanya.

Memandangkan Dr Mahathir merupakan suara yang kuat dan dihormati di seluruh dunia, ASEAN perlu memanfaatkannya, tambah Chapnick.

APEC 2020, menurutnya, akan menjadi acara nostalgia bagi veteran berusia 94 tahun itu berikutan beliau ialah perdana menteri keempat ketika Malaysia pertama kali menjadi tuan rumah APEC 20 tahun lepas.

Mengulas tentang pengalaman dan pengetahuan luas perdana menteri terhadap inisiatif forum antara kerajaan, Pengurus Media Sosial APEC, Masyitha Baziad, berkata Dr Mahathir “mempunyai sejarah peribadi yang mendalam dengan APEC dan masyarakat serantau, sebab itu kenapa beliau dapat membimbing penduduknya.

“Adalah menarik untuk melihat bagaimana beliau mengukur perubahan dan cabaran yang dihadapi APEC sejak beliau mula memainkan peranan sebagai tuan rumah dan kini pada 2020.

“Pada 1998, kami tidak mempunyai mekanisme yang sama yang kami ada sekarang untuk berkomunikasi. Dr Mahathir juga menguna pakai teknologi moden, yang bermaksud ekonomi APEC juga harus mengguna pakai alat komunikasi moden,” katanya.

Masyitha berkata, ini merupakan peluang baik bagi Malaysia untuk mempunyai Dr Mahathir sebagai jurucakap utama kerana beliau akan menjadi pengerusi.

Malaysia berpengalaman dalam menganjurkan beberapa acara besar termasuk Sukan Komanwel dan Sidang Kemuncak ASEAN dan ia sedang meningkatkan kapasitinya untuk menerima kira-kira 15,000 perwakilan semasa APEC 2020.

Chapnick mengambil perhatian bahawa berdasarkan pemerhatiannya, pasukan Malaysia terlibat di semua peringkat daripada perkara dasar kepada komunikasi dan logistik dalam menyediakan negara untuk menjadi tuan rumah APEC 2020.

Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan sebagai berkata bahawa Malaysia perlu menunjukkan komitmen yang kukuh untuk memastikan keberhasilan substantif apabila menjadi pengerusi APEC serta menjamin kelancaran perjalanan siri mesyuarat pada 2020.

“Malaysia perlu mencartakan fasa baharu untuk APEC,” katanya.

APEC adalah forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan saling kebergantungan rantau Asia Pasifik, yang bertujuan untuk mewujudkan kemakmuran yang lebih baik menerusi penggalakkan pertumbuhan seimbang, inklusif, mampan, inovatif dan selamat, dan pada masa yang sama mempercepatkan integrasi ekonomi serantau.

Selain menyediakan banyak peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana, ia akan mewujudkan satu platform bagi tender, pekerjaan, sesi rangkaian dan kemungkinan lain yang menunggu rakyat Malaysia untuk mempamerkan kemahiran, kepakaran, teknologi, perhotelan, makanan mereka dan lebih banyak lagi kepada 20 ekonomi lain, yang mewakili kira-kira 80 peratus dagangan Malaysia dan 74 peratus dalam pelaburan langsung asing.– BERNAMA