Malaysia pertahankan industri komoditi bagi lindungi pihak berkepentingan,kata Darell

Malaysia pertahankan industri komoditi bagi lindungi pihak berkepentingan,kata Darell

Malaysia perlu mempertahankan industri komoditi untuk melindungi semua pihak berkepentingan dalam seluruh ekosistem tersebut, termasuk pekebun kecil dan pengeluar, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Beliau berkata industri minyak sawit negara telah ‘diserang’ oleh Kesatuan Eropah (EU), yang mendakwa ia tidak lestari dan tidak mesra alam.

“Kita perlu mula melindungi produk asas kita yang mewujudkan pekerjaan, terutamanya dalam sektor pembuatan,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Buku Bergambar Ulang Tahun Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Ke-50 di sini malam ini.

Darell berkata Menteri Industri Utama Teresa Kok dan beliau telah diamanahkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memastikan Malaysia menyatakan pendiriannya dalam isu ini.

Malaysia dan Indonesia, yang menyumbang hampir 90 peratus daripada bekalan minyak sawit global, telah mengeluarkan kenyataan yang tegas terhadap EU, kata Darell, sambil menambah beliau akan ke beberapa negara Eropah untuk membantah langkah diskriminasi itu dan menemui pemimpin EU secara bersemuka.

“Jika mereka terus menyerang industri minyak sawit kita, itu bermakna niat mereka tidak sama seperti yang dikatakan mereka,” katanya.

Pada Selasa, Kok dilaporkan berkata Dr Mahathir akan menghantar surat bantahan kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Norway Erna Solberg berhubung rancangan negara mereka untuk melarang biodiesel sawit.

Sementara itu, Darell menggesa industri pembuatan untuk terus kukuh berikutan ia adalah tulang belakang ekonomi.

“Walaupun terdapat kemungkinan kemerosotan, jika kita mengekalkan asas kita yang kukuh kita dapat mengatasinya,” katanya.