Malaysia, Qatar intai kemungkinan kerjasama dalam projek kereta nasional

Malaysia, Qatar intai kemungkinan kerjasama dalam projek kereta nasional

Malaysia dan Qatar sedang meneroka kemungkinan menjalin usaha sama dalam projek kereta nasional ketiga Malaysia, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ini bertujuan memanfaatkan pelaburan Qatar dalam Volkswagen dan Audi.

MITI berkata menterinya, Datuk Darell Leiking, baru-baru ini membincangkan potensi usaha sama itu pada mesyuarat dua hala dengan Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Ali Ahmed Al-Kuwari dan ketua pegawai eksekutif Qatar Investment Authority, Mansoor Ebrahim al-Mahmoud, di Davos.

Mesyuarat itu merupakan susulan daripada lawatan Amir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani ke Malaysia pada 6 Dis, 2018.

Qatar menyambut baik idea itu dan menegaskan mengenai perlunya butiran lanjut mengenai projek pengilangan bersama itu, kata Miti menerusi kenyataan hari ini.

Leiking berkata Qatar boleh mengkaji kemungkinan menjalin usaha sama dalam sektor automotif yang lain di Malaysia seperti pelaburan dalam komponen automotif atau pengeluaran kereta elektrik.

Menteri itu juga memaklumkan kepada Qatar mengenai pelancaran model terkini Proton – X70 dan Perodua Aruz.

Selain itu, Qatar berkata negara itu telah melakukan pembaharuan dalam pelaburan semasanya, termasuk melonggarkan pemilikan pelaburan asing, dengan pemilikan asing 100 peratus dibenarkan dalam  pelbagai sektor.

Qatar juga mengharapkan lebih banyak syarikat Malaysia melabur di negara semenanjung Arab itu.

Untuk itu, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Perdagangan Malaysia-Qatar  kedua dijadual berlangsung pada 28 dan 29 Mac depan.

Berdasarkan hubungan baik antara Malaysia dan Qatar, Leiking menyatakan kemungkinan mencalonkan Qatar sebagai rakan dialog dalam ASEAN.

Qatar boleh menjadi gerbang  ke pasaran Timur Tengah manakala Malaysia sebagai batu loncatan ke pasaran ASEAN.