Malaysia Dateline

Malaysia raih emas kedua melalui gandingan Ang-Tun Ameerul Hakim

Satu lagi berita gembira daripada skuad tenpin boling negara apabila gandingan Adrian Ang-Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam berjaya meraih pingat emas dalam acara beregu lelaki pada Kejohanan Boling Lelaki Dunia 2018, di Hong Kong malam ini.

Menurut laman web kejohanan www.2018wmc.worldbowling.org, mereka menewaskan pesaing dari Amerika Syarikat, EJ Tackett-Andrew Anderson 433-370 pada final.

Terdahulu dalam perlawanan separuh akhir, Ang-Tun Ameerul Hakim menang ke atas pemain Kanada, Dan MacLelland-Francois Lavoie 458-412.

Pingat emas pertama Malaysia diperoleh melalui Muhammad Rafiq Ismail, yang menjadi pemain tenpin boling negara pertama memenangi acara perseorangan dalam kejohanan itu sejak 1979, selepas beliau mengalahkan Dan MacLelland, pada Sabtu.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas di Kejohanan Boling Lelaki Dunia ialah pada 1979 menerusi acara trio yang diwakili Allan Hooi, Edward Lim dan J.B. Koo.

— BERNAMA