Malaysia ramai ulama penghukum, tetapi tandus penentang korupsi, kata Mat Sabu

Malaysia ramai ulama penghukum, tetapi tandus penentang korupsi, kata Mat Sabu

Malaysia ketandusan ulama yang berani menentang korupsi dan salah laku dalam pentadbiran negara, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Menyifatkan penentangan terhadap korupsi di negara ini masih perlahan, Mohamad berkata umat Islam khususnya menunggu ulamak yang lantang menentang penyalahgunaan kuasa pemerintah persis Imam Nawawi, Ayatullah Khasyani dan juga Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong.

“Umat Islam kaya dengan ulama-ulama yang menghukum, yang menggelarkan kumpulan-kumpulan yang tidak sealiran sebagai munafik, liberal, pengkhianat, khadam dan lain-lain perkataan jelik lagi.

“Sedangkan, rakyat menunggu mereka yang muncul untuk memimpin seperti Imam Nawawi, Ayatullah Khasyani dan Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad, skandal terbesar negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah tidak menjadi rahsia umum apabila didedahkan oleh banyak pihak termasuk Sarawak Report dan Department Of Justice (DOJ), Amerika Syarikat.

Malah kata beliau, nama “Malaysia Official One” iaitu Perdana Menteri Malaysia bersama tiga yang lain terdedah dengan begitu jelas sekali sehingga Malaysia kini digelar negara “Kleptocracy” iaitu negara yang diperintah oleh perompak dan pencuri.

Bagaimanapun kata Mohamad, sehingga kini belum ada ulama yang lantang menyatakan kritikan dan penentangan terhadap salah laku ini.

“Menjelmalah orang seperti ini untuk menjadi ikutan rakyat supaya kita dapat menentang segala bentuk korupsi.

“Kami dahagakan ulama-ulama seperti itu, bukan ulama yang menghukum seperti sekarang ini,” katanya.

TAGS