Malaysia rancang sepadukan industri halal, pembiayaan perdagangan Islam

Malaysia rancang sepadukan industri halal, pembiayaan perdagangan Islam

Industri halal dan pembiayaan perdagangan Islam atau Shariah perlu disatukan untuk meningkatkan aktiviti perdagangan Islam global.

Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Maybank Islam Datuk Dr Afifi Al-Akiti berkata pengawal selia kerajaan perlu memain peranan mereka dan mengkaji perkara itu dengan teliti, termasuk terlibat sama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan ekoran terdapat keperluan mendesak untuk mencapai dasar yang tepat dalam menyokong penyepaduan itu.

“Memandangkan terdapat hanya 1.5 peratus sumbangan perdagangan Islam di seluruh dunia pada 2016, potensinya jelas bahawa terdapat peluang besar dalam industri halal dan kewangan perdagangan Islam,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Halal Dunia ke-11 (WHC) 2019 di sini hari ini.

Mengenai penerapan revolusi perindustrian keempat (IR4.0), Afifi berkata penggunaan teknologi legar digital terbuka dalam pensijilan halal, sebagai contoh, boleh membantu industri berkembang lebih cepat, memandangkan kecekapannya dalam mempercepat proses persijilan halal sehingga 3,000 peratus.

“Teknologi bukan sahaja mempercepat urusan, malah turut memastikan sijil tidak boleh dipalsukan atau dibuat,” kata Afifi yang juga anggota tetap Majlis Halal Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Industri Perkhidmatan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Dr Khalid Abdul Hamid berkata meskipun Malaysia masih belum memanfaatkan sepenuhnya teknologi automasi, ia telah mula meneroka potensi seperti kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR) dan objek rangkaian Internet (IoT ) dalam pelbagai industri, terutaman cara untuk mengurus kos dengan lebih cekap.

“Untuk merealisasikan IR4.0, kita memerlukan rakyat untuk mengadaptasi budaya teknologi, yang kemudiannya akan membawa kepada peningkatan produktiviti, daya saing dan pengurangan kos,” katanya.

Khalid berkata sumbangan industri halal kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara dijangka meningkat kepada 8.7 peratus pada 2020 daripada 7.5 peratus pada 2017.

Menurut Laporan Ekonomi Islam Sedunia 2018/19, umat Islam membelanjakan US$2.1 trilion dalam i sektor makanan, minuman dan gaya hidup pada 2017 dan perbelanjaan masyarakat dijangka mencapai US $3 trilion menjelang 2023.- BERNAMA