Malaysia Dateline

Malaysia rekod kes harian tertinggi 19,819 kes Covid-19

Kes harian Covid-19 melambung 19,819 kes hari ini sekali gus yang tertinggi pernah direkodkan di negara ini.

Pertambahan baharu yang mendadak itu menjadikan jumlah kumulatif kes terus melonjak kepada 1,183,110 kes.

Daripada kes hari ini yang dikesan, 55 peratus iaitu 10,890 kes dilapor di Lembah Klang dengan Selangor (8,377 kes), Kuala Lumpur (2,467 kes) dan Putrajaya (46 kes).

Selain Selangor dan Kuala Lumpur, tiga negeri merekodkan pertambahan kes baharu Covid-19 empat angka iaitu Kedah (1,371 kes), Johor (1,162 kes) dan Kelantan (1,003 kes).

Sementara itu, Sabah mencatatkan 949 kes menjadikan jumlah keseluruhan di negeri itu mencecah 88,848 kes.

Dua negeri pula dilapor lebih 800 kes baharu iaitu Pulau Pinang (867 kes) dan Negeri Sembilan (800 kes).

Kes baharu di Perak menyaksikan sedikit penurunan dengan 662 kes hari ini berbanding 967 kes semalam.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, tiga negeri memiliki lebih 500 kes iaitu Sarawak (552 kes), Pahang (558 kes) dan Melaka (508 kes).

Terengganu muncul negeri terendah kes harian Covid-19 di Pantai Timur Semenanjung dengan 481 kes hari ini.

Perlis pula mulai mencatatkan dua angka jangkitan harian dengan 11 kes hari ini manakala Labuan kekal dua hari berturut-turut mencatatkan lima kes baharu Covid-19.