Malaysia Dateline

Malaysia tertinggi dalam Index Jarak Kuasa dunia, kalahkan negara diktator

Dengan memungut 104 mata, Malaysia berada di tangga teratas dalam senarai negara yang mempunyai Jarak Kuasa (Power Distance Index – PDI) yang paling ketara di dunia, meninggalkan negara komunis China atau negara terjajah seperti Iraq.

Menurut laman Clearlycultural.com, Austria mempunyai index PDI yang paling rendah iaitu 11, manakala Malaysia mempunyai index yang tinggi iaitu 104, lebih tinggi dari negara-negara Arab yang disifatkan oleh kajian ini sebagai kumpulan negara yang mempunyai index PDI yang tinggi.

“Sebagai contoh, Jerman mendapat 35 dalam index analisa budaya Hoftede. ia berada di tengah-tengah.

“Berbanding dengan negara-negara Arab di mana penjarakan  kuasanya sangat tinggi iaitu sekitar 80 manakala Austria paling rendah iaitu 11,” kata kajian itu.

Menurut Hotstede Power Distacne Index (PDI), index ini bertujuan menunjukkan apakah sesuatu badan atau negara itu membahagikan kuasanya secara yang wajar antara pihak yang mempunyai kuasa misalnya kerajaan dan orang yang dipimpin misalnya rakyatnya.

Semakin rendah indexnya, bermakna perimbangan kuasa antara pihak berkuasa (kerajaan) dengan orang yang dipimpin (rakyat), bermakna pembahagian kuasa itu semakin samarata dan baik.

Menurut seorang aktivis Zamir Mohyedin (gambar), yang menulis buku The Human’s Complex (THC), secara amnya, indeks ini menunjukkan budaya orang Malaysia jenis malas dan terima sahaja apa autoriti buat dan beritahu.

“Malas nak melawan dan mempersoal. Kita amat memandang tinggi akan nilai pangkat dan kuasa,” kata beliau ketika menjelaskan tentang index ini.

Dalam THC, Zamir menghuraikan kelakuan manusia berinteraksi dengan autoriti.

“Mengapa kita bertindak sedemikian, mengapa kelakuan kita berbeza apabila ada autoriti dan apabila ketiadaan mereka,” kata Zamir dalam lapornya itu.