Malaysia Dateline

Malaysia sambut baik pembangunan ibu negara baharu Indonesia

Malaysia akan mencari jalan terbaik untuk memastikan  pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, di Kalimantan dapat memberi manfaat kepada wilayah ekonomi di Sabah dan Sarawak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap dalam sidang media bersama Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi, Anwar berkata pentadbiran Sabah dan Sarawak memuji inisiatif besar Jokowi membangunkan Nusantara.

Sebelum sidang media, kedua-dua pemimpin menyaksikan penyerahan 11 surat hasrat (LoI) 10 syarikat Malaysia untuk menyertai pembangunan Nusantara.

Mengenai tenaga kerja Indonesia di Malaysia, Anwar berkata pendigitalan sistem pengambilan dan penempatan pekerja sangat penting untuk mengurangkan karenah birokrasi dan penggunaan terlalu banyak agensi.

Beliau berkata agensi pekerjaan perlu hanya menjadi sekadar pemudah cara dan tidak mengambil untung berlebihan hingga menekan pekerja.

“Penyelesaian masalah harus lebih menyeluruh supaya nasib pekerja di peringkat bawahan dapat dibela.

“Kita akan menghindari isu-isu yang boleh merenggang dan meretakkan hubungan, kerana saya mahu hubungan Malaysia-Indonesia itu kekal istimewa,” katanya sambil berharap menteri luar kedua-dua negara memahami komitmen kedua-dua pemimpin.

Anwar berkata isu sempadan antara Malaysia-Indonesia tidak sulit dan kerajaan komited untuk menelitinya bersama jemaah menteri dalam masa terdekat.

“Ia hanya memerlukan satu tekad yang jelas dan Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan bawa ke jemaah menteri,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Anwar berkata Malaysia akan memberi tumpuan kepada program hiliran dan ekonomi digital seperti yang dilaksanakan pentadbiran Jokowi.

“Saya akan manfaatkan pengalaman dan sumbangan beliau (Jokowi) dan kita akan dapat membantu memacu pertumbuhan ekonomi di Malaysia dan pastinya juga bersama dengan Indonesia dengan lebih meyakinkan,” katanya.

— BERNAMA

Baca juga : PM Anwar diberi sambutan rasmi di Istana Kepresidenan Bogor