Malaysia Dateline

Malaysia sedang kembali ke landasan rasuah

Malaysia seolah-olah sedang kembali semula ke arah negara rasuah seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu selepas berjaya dikekang oleh Pakatan Harapan, kata Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata, Di bawah rejim Umno-BN, negara ini pernah dijanjikan akan mencapai sasaran untuk berada di kedudukan 30 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020.

Namun menurutnya, berdasarkan skor CPI selama 24 tahun dari 1995 hingga 2018, tiada harapan bagi siapa pun untuk mempercayai bahawa sasaran Malaysia untuk berada di kedudukan 30 teratas akan dapat dicapai

“Semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Malaysia telah bersedia ke arah era baru untuk membasmi rasuah dengan peningkatan skor dan kedudukan lebih baik pada 2019, sekaligus memulakan langkah menjadi antara 30 negara teratas di dunia yang berintegriti sebelum 2030.

“Tetapi PH telah digulingkan dan sekarang kita mula kembali ke landasan rasuah seperti sebelum pilihanraya dan kemungkinan akan melihat perubahan besar yang lebih teruk.

“Bolehkah kita mengharapkan kenyataan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki mengenai CPI 2020 yang buruk ini?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, kedudukan Malaysia dalam Indeks rasuah dunia bagi tahun 2020, dilaporkan jatuh di kedudukan 57 berbanding tangga 51 pada 2019.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100 berbanding skor sebanyak 53 peratus pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, kejatuhan ini perlu dirisaukan dan dipertingkatkan kembali.

Sementara itu Lim yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Malaysia perlu bersaing dengan dua negara yang dahulunya paling rasuah iaitu China dan Indonesia yang kini semakin menunjukkan perubahan.

“Salah satu perkara yang menjadi perhatian saya adalah bagaimana Malaysia berhadapan dengan China dan Indonesia, yang pada masa lalu dianggap sebagai negara yang sangat korup.

“Kedua-dua negara ini semakin baik dalam 26 tahun terakhir dan China kini berada di kedudukan ke 78 dengan skor 42 sementara Indonesia berada di tangga 102 dengan skor 37.

“Berdasarkan rekod indeks rasuah dari 2010 hingga 2018, kemungkinan China akan mengatasi Malaysia sebelum 2030 dan diikuti Indonesia selepas tahun 2030,” katanya lagi.