Malaysia sedia bekerjsama dengan Indonesia tangani isu perikanan

Malaysia sedia bekerjsama dengan Indonesia tangani isu perikanan

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Malaysia sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dalam menangani isu perikanan dan pencerobohan perairan oleh nelayan.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik perjumpaan buat kali pertama dengan Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti yang diadakan di Menara LPP, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pertemuan itu, beberapa perkara termasuk isu penangkapan ikan secara haram di perairan kedua-dua negara telah dibincangkan dan dipersetujui kedua-dua pihak untuk mencari jalan penyelesaian.

Perbincangan meja bulat antara Malaysia dengan Indonesia berhubung isu perikanan.

“Ada dua perkara yang dipersetujui bersama dalam pertemuan tadi iaitu yang pertama mengadakan ‘joint communique’ dan yang keduanya, peringkat pegawai kedua-dua belah pihak akan mengeratkan kerjasama dalam bidang perikanan ini,” katanya kepada media selepas pertemuan berkenaan.

Kata beliau lagi, kedua-dua pihak selanjutnya akan berunding dan memperincikan perkara-perkara berkaitan bidang perikanan dan hasil perbincangan itu akan dibawa ke peringkat kabinet untuk diputuskan.

“Kita berbincang lama mengenai isu ini dan kita harus memastikan penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU) tidak berlaku dalam perairan Malaysia dan juga tiada vesel Malaysia mencerobohi perairan mana-mana negara,” katanya.

Sementara itu, Susi juga bersetuju yang perjumpaan hari ini dengan Salahuddin boleh memberi kesan positif dalam mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara sambil mengemukakan jalan penyelesaian yang baik dalam menangani isu-isu perikanan yang dibincangkan kedua-dua pihak.