Malaysia, Singapura berusaha rangka perjanjian tambahan mengenai projek RTS

Malaysia, Singapura berusaha rangka perjanjian tambahan mengenai projek RTS

Malaysia dan Singapura sedang berusaha ke arah merangka perjanjian tambahan baharu bagi Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook hari ini.

Beliau berkata projek itu, yang pelaksanaannya digantung selama enam bulan, melibatkan peguam negara dari kedua-dua negara menggubal perjanjian itu.

“Beberapa kos terlibat tetapi saya tidak boleh memberitahu kepada anda (media). Ia perlu diputuskan oleh Surat Perjanjian Operasi antara Pusat Kawalan Kawasan Kuala Lumpur dan Singapura Mengenai Ketibaan, Pelepasan dan Overflights 1974 (LOA 1974).

“Butiran lanjut akan dimaklumkan sebaik sahaja kita memuktamadkannya,” kata beliau pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Singapura Khaw Boon Wan selepas mesyuarat dua hala selama 45 minit di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada Isnin,

Terdahulu, Khaw mengunjungi Loke di tempat yang sama.

Kerajaan Malaysia pada April dilaporkan memohon lanjutan enam bulan sehingga September dari Singapura sebelum membuat keputusan mengenai projek RTS bagi membolehkan kerajaan mengkaji beberapa isu termasuk kos melaksanakan projek itu.

Sementara itu, Khaw berkata RTS Link, apabila siap, mampu mengangkut sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.

RTS Link akan menyeberangi Selat Johor melalui jambatan setinggi 25 meter, yang menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Baru dengan RTS Link Woodlands North Station di Singapura.

Khaw berkata Malaysia telah meminta penggantungan selama enam bulan untuk membolehkannya menyemak semula bidang utama projek pelaburan berat itu.

“Peguam negara dari kedua-dua negara dan para pegawai sedang berusaha bagi merangka Perjanjian Tambahan susulan penggantungan projek tersebut.

“Kita akan menangani isu ini seperti yang dilakukan bagi penggantungan Projek HSR melalui semangat muhibah,” kata beliau.

Khaw berkata Singapura akan menangani isu RTS Link melalui semangat muhibah bagi mencapai situasi menang-menang sebagaimana Singapura mengendalikan projek Rel Berkelajuan Tinggi.  – BERNAMA