Malaysia-Singapura henti penghantaran aset dalam isu sempadan

Malaysia-Singapura henti penghantaran aset dalam isu sempadan

Malaysia hari ini mencadangkan kepada Singapura supaya kedua-dua negara menghentikan penghantaran aset ke kawasan Tuas yang dipertikaikan, berkuatkuasa jam 0000 pada 8 Dis sementara menunggu perbincangan mengenai isu-isu sempadan laut yang belum selesai.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata cadangan itu adalah susulan perbalahan antara Malaysia dan Singapura mengenai Pengisytiharan Perubahan Had Pelabuhan bagi Johor Bahru yang diterbitkan pada 25 Okt, 2018.

Beliau berkata tindakan untuk menghentikan akan diambil tanpa prejudis kepada pendirian sama ada Malaysia atau Singapura mengenai tuntutan sempadan laut di kawasan itu yang dipertikaikan.

“Sudah tentu semua kerajaan berkewajipan untuk mempertahankan kedaulatan negara. Begitu juga, adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk bersatu dan berdiri teguh di belakang kerajaan sekiranya ini berlaku. Malaysia akan melakukan perkara yang sama jika keadaan menjustifikasinya.

“Bagaimanapun, tidak semua perselisihan harus dilihat dari segi cabaran kepada prinsip. Sebaliknya, semua perselisihan harus diatasi melalui semangat dialog dan kerjasama,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata Malaysia juga telah mengemukakan agenda draf bagi mesyuarat bertujuan menyelesaikan secara baik isu-isu sempadan laut antara kedua-dua negara yang disampaikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong semasa melakukan lawatan ke republik itu pada 12 dan 13 Nov, 2018.

Beliau bekata kerajaan Malaysia berharap bahawa mesyuarat tersebut dapat diadakan pada pertengahan bulan ini.

Saifuddin berkata Malaysia telah memaklumkan kepada Kerajaan Singapura melalui Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia hari ini, mengenai bantahannya terhadap keputusan Kerajaan Singapura berhubung penerbitan Pekeliling No.9 2018 bertarikh 6 Disember 2018 oleh Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura bertujuan untuk memperluaskan had pelabuhan Singapura di luar Tuas.

“Kerajaan Malaysia menekankan bahawa perluasan secara unilateral had pelabuhan yang baharu oleh Singapura menceroboh perairan wilayah Malaysia dan had pelabuhan Johor Bahru seperti termaktub dalam Warta P.U. (B) 587 Kerajaan Persekutuan mengenai Pengisytiharan Perubahan Had Pelabuhan untuk Pelabuhan Johor Bahru yang diterbitkan pada 25 Okt, 2018 oleh Jabatan Peguam Negara Malaysia.

“Ini jelas merupakan pencabulan terhadap kedaulatan Malaysia dan undang-undang antarabangsa. Oleh itu, Kerajaan Malaysia menggesa Kerajaan Singapura untuk menarik balik Pekeliling No.9 Pelabuhan Laut,” kata beliau.

Saifuddin berkata Dr Mahathir menerusi cacatannya dalam laman Facebook beliau semalam menyifatkan hubungan Malaysia-Singapura seperti kembar dan akan ada perbezaan dan persaingan antara kita.

Bagaimanapun, ia akan membantu kita untuk berkembang lebih pesat”. Beliau berkata pada masa tertentu, persaingan antara Malaysia dan Singapura akan menjadi sengit, tetapi tanpa mengira tahap keamatan, Malaysia menyedari bahawa ia tidak membantu untuk segera mentakrifkannya secara emotiif, dan melihatnya sebagai cabaran kepada kedaulatan.