Malaysia Dateline

Malaysia suarakan rasa prihatin dengan keadaan di Gaza

Dalam melahirkan rasa prihatin dengan dengan keadaan di Gaza yang semakin buruk, Malaysia mengulangi gesaan supaya diwujudkan satu bentuk perlindungan antarabangsa khusus buat rakyat Palestin.

Wisma Putra berkata perlindungan yang selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa itu, seharusnya mencetuskan langkah-langkah pembinaan keyakinan, di samping menghalang pembunuhan dan pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan.

Sejak beberapa hari lalu media melaporkan Hamas dan pasukan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) terlibat dalam pertempuran sengit, yang dicetuskan oleh serangan IDF di Gaza yang membunuh sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin.

Pada masa yang sama lima rakyat Palestin terbunuh dan 20 lagi tercedera dalam serangan udara IDF, menurut Kementerian kesihatan di Gaza.

“Perkembangan semasa di Gaza menggambarkan keadaan yang amat membimbangkan,” menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wisma Putra menegaskan bahawa Israel terikat dibawah undang-undang antarabangsa bagi memastikan perlindungan kepada orang awam di bawah peraturan ini.

“Dengan melancarkan kekejaman terhadap rakyat Palestin, Israel nampak mengambil tindakan sebaliknya yang bertentangan,” katanya.

Wisma Putra berkata Malaysia seterusnya menganggap tindakan yang diambil IDF sebagai ancaman besar terhadap sebarang potensi untuk proses perdamaian.

“Malaysia menggesa kedua-dua pihak supaya menghentikan apa jua tindakan yang boleh menghalang sebarang cubaan kearah mencapai keamanan,” katanya.

Wisma Putra berkata ia tegas dengan pendiriannya bahawa penyelesaian dua negara, di mana Palestin dan Israel boleh wujud sebagai jiran bersama dengan aman berdasarkan kepada sempadan pra-1967, dengan timur Baitulmuqaddis sebagai ibunegara Palestin; adalah satu-satunya penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel ini.

— BERNAMA