Malaysia sudah bersedia peralihan Kerajaan Baru

Malaysia sudah bersedia peralihan Kerajaan Baru

Akhbar utama meneruskan mainan sentimen rakyat umum bahawa negara belum bersedia peralihan sebuah Kerajaan Baru.

Penulis upahan murahan ini terus menanamkan bibit keraguan kepada masyarakat dan pengundi atas pagar yang jelas belum tentu arah tuju parti mana yang mereka ingin berikan undi. Mereka mensasarkan pengundi baru dan pengundi muda yang jelas belum mempunyai pilihan parti tertentu.

Pihak tertentu juga mewujudkan perasaan takut, was-was dan curiga di dalam hati rakyat umum khasnya orang Melayu bahawa pilihan raya kali ini akan kehilangan maruahnya di tanah air sendiri. Bahkan adalah yang lebih parah menyebut bahawa kedudukan Agama Islam akan terhakis oleh kuasa DAP yang akan menunggang semua Parti orang-orang Melayu dalam Pakatan Harapan (PH).

Ada juga pihak yang mengatakan pilihan raya ini akan menjadi tersangat panas hinggakan ada pihak yang akan mencetuskan ketidaktenteraman.

Kita memang akur bahawa ianya bakal sangat panas dan boleh menjejaskan ketenteraman jika ada pihak yang mahu ianya menjadi begitu kecoh terutama jika ada yang gagal mendapat tempat dalam pilihan raya kali ini.

Akan tetapi sebagai sebuah negara yang sudah matang sewajarnya pilihanraya diadakan dengan aman dan tenteram bahkan semua proses dikawal rapi oleh pihak keselamatan.

Hakikatnya pilihanraya adalah satu proses yang sewajarnya dapat dijalankan dengan aman selagi tiada pihak tertentu yang cuba melakukan provokasi jahat dan tidak bertanggungjawab.

Negara mempunyai pelbagai Akta yang boleh diguna pakai terhadap mana-mana pihak yang cuba melakukan atau ingin bertindak di luar batasan undang-undang.

Sebagai rakyat Malaysia kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Polis Diraja Malaysia yang telah menjangkau umur 211 tahun sejak sebelum merdeka lagi untuk terus memainkan tanggungjawab memelihara keselamatan awam secara berdisiplin dan penuh integriti tanpa cenderung kepada mana-mana parti yang sedang berlawan dalam sistem pilihanraya yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Pakatan Pembangkang iaitu PH bukanlah musuh rakyat atau ancaman kepada mana-mana pihak. Mereka adalah sebuah kerajaan yang sedang menunggu atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai “Government in waiting”.

Mereka menawarkan diri untuk bertanding di 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di seluruh Negara. Jika PH memperolehi jumlah kerusi Parlimen yang cukup iaitu majoriti mudah maka bolehlah ia menubuhkan sebuah kerajaan yang baru.

Lantaran itu Pakatan Pembangkang bukanlah musuh kepada rakyat Malaysia sebaliknya ianya adalah penyelamat. Namun apa yang menyedihkan media sosial pihak tertentu terus memberikan imej yang buruk kepada PH. Jika mainan sentimen ini diulang ratusan kali sudah pasti akan ada yang percaya bahawa perubahan ke arah sebuah Kerajaan Baru PH bukanlah satu pilihan.

Peranan parti pembangkang adalah jelas termaktub dalam sistem demokrasi iaitu memainkan peranan semak dan imbang terhadap mana-mana dasar yang dianggap boleh merugikan negara.

Cumanya siapakah yang akan bergelar Parti Pembangkang selepas PRU Ke-14 menjadi satu teka teki yang menakutkan BN.
Mereka mengatakan bahawa Umno dan BN bukanlah yang gabungan parti yang terbaik namun mereka masih mencurigai kemampuan PH untuk menggantikan BN dalam pilihan raya akan datang.

Mereka mengatakan bahawa PH belum mempunyai keizinan oleh ROS untuk mendaftarkan sebagai sebuah parti namun pada hakikatnya permohonan telah pun diajukan sejak berbulan-bulan lamanya namun ROS masih belum memberi kata putus.
Ramai mengharapkan ROS akan bertindak segera secara professional dan memberi apa-apa nasihat yang wajar bagaimana parti PH ini dapat didaftarkan dengan sebuah logo yang baru secara sah mengikut undang-undang.

Hakikatnya ia adalah satu isu teknikal-legal dan rakyat yakin hal ini mudah sahaja dan bukanlah satu perkara luar biasa.
PH kini bukanlah seperti yang dituduh oleh penulis murahan terbabit. Kini PH sudahpun terbentuk dengan rasminya dan mempunyai satu struktur organisasi yang sangat jelas. Mempunyai Seorang Ketua Umum, seorang Pengerusi, Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naibnya dari seluruh komponen PH terdiri dari PPBM, PKR, Amanah dan DAP.

Bahkan apa yang amat menarik perhatian dunia ialah PH kini dipimpin oleh Ybhg Tun Dr Mahathir Mohamad mantan PM yang sudah puluhan tahun mengurus dan mentadbir Negara hingga Malaysia terkenal dengan kemajuannya di seluruh dunia.

Bukan setakat itu mereka telah mengikat perjanjian bertulis yang meletakkan visi, misi dan objektif parti. PH juga telah pun menamakan bakal PM mewakili PH jika memenangi PRU Ke-14 yang akan datang.

Di samping itu Manifesto PH sudahpun dilancarkan serta jelas misi 100 hari perubahan yang akan dilakukan serta dijanjikan kepada rakyat jika berjaya menuju ke Putrajaya, insyaAllah.

Hal ini tidak pernah berlaku kepada pakatan pembangkang sejak merdeka maka dengan sebab itu UMNO dan BN terus mudah meraih undi minimum dari rakyat.

Namun jika diukur secara statistik pada PRU Ke-13 52 peratus telah mengundi barisan pembangkang. Dari data yang dibuat kajian oleh BN kali ini Sabah bukan lagi safe deposit untuk UMNO dan BN. Info terkini menyatakan bahawa sejumlah 30 peratus dimaklumkan dari survey akan memberikan undi untuk Parti WARISAN yang dipimpin oleh Dato’ Seri Haji Shafie Afdhal yang dulunya Mantan Naib Presiden UMNO yang dipecat. Oleh itu UMNO Sabah sangatlah gusar kerana kini Sabah bukan lagi ‘kotak selamat” UMNO dan BN.

Kini rakyat akan membuat keputusan sekali lagi untuk memilih parti mana yang akan menjadi sebuah kerajaan. Ramai rakyat keliru istilah sebuah kerajaan dan negara.

Malaysia adalah sebuah Negara Demokrasi Raja Berpelembagaan. Dengan erti kata negara kita ini terus berdaulat dan meletakkan Sistem Raja-Raja Melayu dan Agama Islam ditempat yang tertinggi. Atas dasar ini seluruh rakyat jelata akan terus setia dan memberikan ketaatan yang penuh kepada Negara dan Raja-Raja Melayu dan kepada negara yang diikat oleh Perlembagaan Persekutuan.

Namun sistem demokrasi ini memberi peluang kepada rakyat untuk melantik wakil-wakil mereka di Parlimen bagi mendapatkan majoriti mudah bagi membentuk sebuah kerajaan. Kerajaan akan dipilih setiap lima tahun bagi membuat polisi dan mentadbir Negara dengan dasar-dasar yang terbaik untuk rakyat.

Pendek kata kita semua rakyat Malaysia setia kepada negara namun tidak semestinya rakyat mesti setia kepada kerajaan yang dilihat gagal mengurus dan mentadbir negara dengan baik sebaliknya bebanan hutang negara yang terlalu besar dan ketirisan yang tidak kesudahan.

Rakyat boleh membuat pilihan baru kerajaan bagaimana yang mereka inginkan. Ini bukanlah satu penderhakaan mahupun satu pelanggaran kesetiaan kepada negara hatta kepada Raja-Raja Melayu yang terus diberikan kuasa mentadbir Agama islam dan undang-undang di negeri masing-masing mahupun YDPA bagi negeri yang mempunyai seorang gabernor namun tiada mempunyai Raja.

Oleh itu isu ini kerap kali dimainkan di pelbagai media massa utama hinggakan ramai warga amat khuatir bahawa sebuah kerajaan baru akan menghakis kedudukan Agama Islam mahupun menghapuskan nilai Agama dalam sebuah negara yang akan datang. Ini adalah satu permainan persepsi yang sangat tidak bertanggung jawab.

Apa yang berlaku hakikatnya kedudukan Agama Islam telah termaktub dengan selamatnya dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa yang berlaku adalah khilaf dari segi cara dan kaedah dan bagaimana hendak menterjemahkan pelaksanaan syariah di dalam sebuah negara majmuk.

Jika dilihat dari segi tanggungjawab ini telahpun diberikan kepada kerajaan BN selama lebih 60 puluh tahun namun sehingga kini martabat Mahkamah Syariah masih belum setaraf dengan Mahkamah Sivil. Jelas hal ini bukanlah kegagalan Pembangkang kerana ia belum pernah diberikan peluang untuk melakukan pembaikan dan reformasi institusi negara.

Persoalan siasah syar’iyyah dalam melaksanakan undang-undang Islam memang mempunyai perbahasan yang sangat luas dan memang terjadi pelbagai perdebatan tentang cara dan kaedah. Bukan persoalan asas dan prinsip akan tetapi persoalan cara dan bagaimana yang memang memerlukan kepada ilmu dan pakar yang boleh menggarap persoalan ini dan mampu melaksanakannya.

Negara Pakistan yang mempunyai hampir seratus peratus orang Islam pun masih gagal untuk melaksanakan undang-undang Islam dengan cara terbaik bahkan negara mereka juga menghadapi pelbagai masalah dalaman dan perpecahan kelompok dan ektremisme yang sukar di kawal.

Kini kita meletakkan tanggung jawab perubahan ini kepada seluruh pengundi khasnya para pengundi pertama kali serta pengundi muda. Andalah pencipta masa depan Negara yang lebih baik.

Kita juga amat kecewa kerana seramai 4 juta belia berumur 21 tahun masih belum mendaftar sebagai pengundi dengan alasan yang pelbagai. Sikap ini jika berterusan adalah satu yang merugikan kepada masa depan negara.

Jika anda wahai anak muda belum lagi mendaftar silalah berbuat segera menuju ke Pejabat POS berdekatan bersama kad pengenalan anda. Ianya akan hanya mengambil masa tidak lebih dari lima minit.

Ayuh wahai seluruh anak muda jalankanlah tugas anda sebagai rakyat Malaysia memilih sebuah kerajaan yang baru dan janganlah terpedaya dengan sentimen keraguan. Masa depan adalah untuk anda semua!

CATEGORIES