Malaysia Dateline

Malaysia tidak akan eksport ayam lagi mulai 1 Jun depan

Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan arahan penghentian eksport ayam mulai 1 Jun depan bagi mengatasi isu kekurangan bekalan ayam mentah dalam negara.

Ini bermakna, sebanyak 3.6 juta ayam sebulan yang dieksport sebelum ini tidak akan diteruskan lagi demi memenuhi keperluan rakyat negara ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, langkah yang dipersetujui Kabinet itu antara lima pendekatan segera bagi masa jangka pendek dan akan berkuat kuasa sehingga harga dan pengeluaran ayam tempatan kembali stabil.

Lima langkah atasi isu harga, bekalan ayam

i. Menghentikan eksport ayam 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini hingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil (Keutamaan Kerajaan adalah Rakyat sendiri)

ii. Mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi

iii. Memansuhkan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang pembabitan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber.

iv. Mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam

v. Menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam

Sementara itu mengulas tentang harga siling ayam, Ismail berkata, kerajaan sehingga kini masih lagi menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 sekilogram.

Ini bermakna kerajaan telah memberikan subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

Bagaimanapun katanya, pihak kerajaan mendapati beberapa syarikat besar tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahukan kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran

Untuk rekod, setakat ini hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil.

Baca juga: Betulkah ayam hilang selera makan atau temberang persatuan penternak? Menteri pula boleh percaya

Baca juga: Lelaki warga Myanmar gagal culik kanak-kanak usia 4 tahun, ditahan bapa mangsa dan orang awam