Malaysia Dateline

Malaysia tidak akan hantar jemaah haji tahun ini

Ibadat haji bagi Musim Haji 1442H dihadkan hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut sahaja.

Perkara ini dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri selepas dihubungi Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Abdelfattah Sulaiman Mashat.

Dr Zulkifli menjelaskan keputusan kerajaan Arab Saudi ini disebabkan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.

“Makluman yang sama telah diterima oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammudin Hussein daripada rakan sejawatnya, Putera Faisal bin Farhan Al Saud.

“Kenyataan rasmi oleh Kerajaan Arab Saudi juga telah dikeluarkan tepat pukul 6.10 petang sebentar tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini,” katanya.

Justeru, beliau mewakili Kerajaan Malaysia menyatakan bahawa Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442H sebagai akur serta menghormati keputusan Kerajaan Arab Saudi itu.

Bagaimanapun, beliau akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dan terpilih untuk melaksanakan ibadah Haji bagi Musim Haji 1442H diuruskan dengan sebaiknya oleh Lembaga Tabung Haji, selaras dengan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Beliau pada masa sama memohon maaf kepada semua bakal jemaah haji yang amat cinta dan rindukan dua Tanah Suci kerana terpaksa menangguhkan ibadah Haji pada tahun ini.

Jelas beliau, keputusan ini sudah pasti amat berat dan sukar untuk diterima, namun tetap yakin dengan hikmah di sebalik keputusan tersebut.

Dalam kunjungan Tan Sri Muhyiddin ke Riyadh awal Mac 2021 dilaporkan Malaysia mendapat tambahan kuota rasmi haji sebanyak 10,000 lagi yang akan dilaksanakan selepas keadaan wabak COVID-19 terkawal dan ibadah itu dibuka semula.

Menurut Muhyiddin perkara itu dipersetujui oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Raja Salman, dalam pertemuan mereka di Istana Al Yamamah baru-baru ini.

Pada masa sama katanya, Putera Mohammed juga memberikan reaksi positif terhadap permintaan Malaysia bagi mendapatkan kuota haji tambahan apabila kerajaan Arab Saudi membuka sepenuhnya ibadat itu yang terjejas akibat pandemik.