Malaysia Dateline

Malaysia tidak akan menang jika Annuar mewakili mentaliti kerajaan Mahiaddin

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menang dalam perang melawan Covid-19 jika sikap Menteri Umno, Tan Sri Annuar Musa mewakili mentaliti dalam kerajaan Mahiaddin Md Yasin.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Annuar yang menyatakan bahawa petunjuk kejayaan kerajaan mengawal pandemik ini adalah apabila orang ramai sudah tidak lagi takut terhadap Covid-19.

Lim menempelak kenyataan itu dan bertanya, adakah Annuar sebenarnya contoh daripada Kabinet Mahiaddin yang menganggap Proklamasi Darurat pada 12 Januari lalu adalah satu kejayaan besar dan bukannya kegagalan.

“Berapa ramai Menteri dalam Kabinet gergasi Mahiaddin yang berfikiran seperti Annuar? berfikiran bahawa kerajaan sedang memenangi peperangan melawan Covid-19 sedangkan kita sebenarnya sedang berhadapan dengan kekalahan.

“Malaysia tidak akan menang perang melawan wabak ini jika pemikiran seperti Annuar Musa ini meluas dalam kerajaan Muhyiddin dalam usaha melawan Covid-19.

“Amat mengejutkan dan tidak masuk akal bahawa kita mempunyai sebuah kerajaan yang seolah-olah menganggap kegagalan proklamasi darurat sebagai senjata melawan Covid-19.

“Malah mereka mendakwa dasar serta strategi komunikasi untuk mendidik orang ramai tentang bahaya pandemik Covid-19 telah mencapai kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, maka tidak hairanlah negara terjerat dalam masalah yang begitu besar

Terdahulu, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, istilah “gagal” sangat subjektif untuk dijawab apatah lagi jika melihat pada perkembangan negara-negara lain dalam melawan pandemik Covid-19.

Annuar berkata, tidak ada negara yang boleh mengatakan mereka berjaya menangani Covid-19, selagi program vaksinasinya belum mencapai 80 peratus.

Katanya, biarpun berdepan dengan pelbagai krisis kesihatan, ekonomi dan politik, namun kerajaan hari ini adalah kerajaan yang berfungsi dan tidak mempunyai masalah.

“Kabinet hari ini yang paling tenang, saya tak dapat ingat satu pun peristiwa di mana timbulnya pertengkaran,” kata Annuar.