Malaysia Dateline

Malaysia tidak berjaya melawan Covid-19, kata Kit Siang

Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang menyifatkan Malaysia gagal memerangi pandemik Covid-19 jika bersandarkan Indeks Ketahanan Covid oleh Bloomberg.

Menurutnya, kedudukan Malaysia di belakang negara Asia Timur seperti China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, dan Hong Kong bahkan Asia Tenggara seperti Singapura, Vietnam, dan Thailand.

Data tersebut terkandung dalam penerbitan bulan Indeks Ketahanan Covid oleh Bloomberg yang mengukur ekonomi bernilai AS$200 bilion dalam 10 ukuran iaitu daripada peningkatan kes kepada kadar kematian, kapasiti ujian saringan, dan perjanjian bekalan vaksin.

“Kawasan serantau Asia Timur dan Pasifik telah dikatakan sebagai salah titik cerah dalam usaha melawan wabak Covid-19, tetapi kita perlu mengakui yang Malaysia tidak berjaya untuk melakukan yang terbaik dalam melawan wabak ini.

“Mengapakah Malaysia tidak berada dalam kedudukan yang lebih baik, seperti negara-negara Asia Timur atau Asean…?,” soalnya dalam kenyataan semalam.

Menurut Indeks Ketahanan Covid Bloomberg pada Februari, Singapura berada di tangga kedua, China (6), Taiwan (7), Korea Selatan (8), Jepun(9), Thailand (10), Hong Kong (13), Vietnam (18) berbanding Malaysia pada kedudukan ke-23 dari 53 buah negara.