Malaysia tidak boleh ambil mudah saingan tiga negara jiran

Malaysia tidak boleh ambil mudah saingan tiga negara jiran

– Malaysia tidak boleh memandang mudah saingan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 walaupun kumpulan itu disifatkan umpama ‘pesta Asean’ apabila empat daripada lima negara di dalamnya terdiri daripada negara-negara dalam kelompok Asia Tenggara.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata tiga negara jiran dalam kumpulan itu (Indonesia, Vietnam dan Thailand) mempunyai kekuatan masing-masing, dan walaupun skuad Harimau Malaya pernah menang dalam pertembungan dengan setiap mereka, ia juga pernah tewas.

“Ia bagaikan fiesta Asean, tapi kita tidak boleh ambil perkara ini dengan mudah. Pasukan-pasukan dari negara ASEAN ini agak kuat dan kita pernah berentap sebelum ini. Ada yang menang, ada kalah.

“Pada masa yang sama walaupun tidak boleh ambil mudah, tapi alhamdulillah. Banyak penyokong berpendapat yang sama,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN) di Institut Sukan Negara (ISN) pada Khamis.

Berdasarkan keputusan semalam, skuad kebangsaan bimbingan Tan Cheng Hoe itu diundi untuk bersaing dalam Kumpulan G yang disertai Indonesia, Vietnam, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berkata bakal Pesuruhjaya Sukan Malaysia Dr Wirdati Mohd Radzi akan memulakan tugas rasminya sebaik sahaja beliau mendapat pelepasan daripada pihak Universiti Malaya (UM).

“Dia adalah salah seorang pensyarah kanan di UM, jadi dia perlu melalui proses di mana UM perlu melepaskannya dan JPA perlu mengesahkan. Semua masih dalam proses. Kalau ikutkan, saya memang mahu dia mulakan tugas dua minggu lepas lagi,” katanya.

Dr Wirdati, Pensyarah Sukan UM diumumkan sebagai Pesuruhjaya Sukan yang baharu bagi menggantikan Datuk Zaiton Othman yang bersara pada Mac lepas.

— BERNAMA