Malaysia Dateline

Malaysia tidak iktiraf pemilikan dua kewarganegaraan

Dasar kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam reaksinya terhadap laporan yang mendakwa ribuan warga Thailand mempunyai dua warganegara sejak 1980-an, yang membolehkan mereka keluar masuk ke Malaysia tanpa sekatan, beliau berkata seseorang warganegara Malaysia boleh diambil tindakan pelucutan kewarganegaraan seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya,  tindakan pelucutan terhadap warganegara Malaysia yang memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara asing sama ada melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain selain perkahwinan boleh  diambil bawah Perkara 24(1) Perlembagaan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tindakan pelucutan juga boleh diambil bawah Perkara 24(2) Perlembagaan bagi warganegara Malaysia yang menuntut dan menggunakan suatu hak/keistimewaan yang diberikan secara khusus kepada seseorang warganegara asing, katanya.

Ia seperti menggunakan hak undi bagi pemilihan politik di negara asing, memohon pasport/dokumen perjalanan negara asing, atau menggunakan pasport/dokumen perjalanan negara asing, katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, jika seorang warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang memperoleh kewarganegaraan negara asing juga melalui kuat kuasa undang-undang, dia tidak melakukan kesalahan bawah Perkara 24(1) Perlembagaan kerana berhak terhadap kedua-dua kewarganegaraan itu.

Namun, katanya dia melakukan kesalahan mengikut Perkara 24(2) Perlembagaan jika memohon atau menggunakan pasport/dokumen perjalanan negara asing itu.

Muhyiddin berkata laporan mengenai sebarang kesalahan oleh seseorang warga Malaysia yang boleh diambil tindakan pelucutan kewarganegaraan boleh dikemukakan oleh mana-mana pihak seperti agensi kerajaan atau orang perseorangan.

Laporan yang dikemukakan perlulah mengandungi butiran mengenai individu yang dilaporkan serta bukti  relevan dan kukuh bagi membantu siasatan lanjut oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), katanya.

“Laporan tidak disertakan dengan bukti akan menyukarkan siasatan, menyebabkan fail kes tidak kukuh dan seterusnya tindakan pelucutan kewarganegaraan tidak dapat dijalankan.

“Siasatan tidak boleh dijalankan berasaskan dakwaan atau tohmahan semata-mata, tanpa bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan,” katanya.

Mengenai dakwaan kad pengenalan Malaysia mudah diperoleh pada tahun 1980-an, Muhyiddin yang menafikan perkara itu berkata Malaysia tidak pernah membenarkan pemilikan dua kewarganegaraan sejak Perlembagaan Persekutuan dirangka pada 1957.

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapan pada majlis itu berkata kementerian perlu merangka satu pelan pembangunan kapasiti yang komprehensif merangkumi keperluan semua jabatan dan agensi serta meliputi semua kumpulan perkhidmatan.

“Setiap warga KDN perlu meningkatkan kerjasama dalam pelaksanaan tugas dan bekerja sebagai satu pasukan. Elakkan budaya kerja secara silo dan kerenah birokrasi yang menyukarkan rakyat,” katanya.

Seramai 252 penerima anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian, Jabatan dan Agensi.