Malaysia Dateline

Malaysia tidak import haiwan hidup dan produk dari wilayah Hunan di China

Jabatan Perkhidmatan Veterinar memaklumkan bahawa Malaysia sama sekali tidak mengimport haiwan hidup dan produk daripada Shaoyang, Wilayah Hunan di China.

Ketua Pengarahnya dalam satu kenyataan hari ini berkata, Malaysia hanya mengimport keratan ayam daripada kilang pemprosesan ayam yang berada kira-kira 1,313 km daripada tempat kejadian iaitu di Liaocheng, Shangdong.

“(Untuk makluman), Malaysia tidak mengimport haiwan hidup dan produk daripada kawasan ini (Wilayah Hunan).

“Jabatan sentiasa mengambil sampel keratan ayam yang dibawa masuk untuk diuji bagi penyakit H5N1 dan setakat ini tiada sampel yang positif.

“Langkah berjaga-jaga akan ditingkatkan dan sampel akan diambil daripada setiap kosainmen untuk diuji,” katanya.

Justeru katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan sentiasa memantau keadaan dan berhubung dengan OIE (World Animal Health Organisation) untuk mengetahui status kedudukan sebenar dari masa ke semasa.

Jelasnya juga, Pihak berkuasa China telah mengambil tindakan untuk mengawal penyakit H5N1 yang terjadi.
Terdahulu, Reuters melaporkan menemui wabak selesema burung H5N1 di sebuah ladang di bandar Shaoyang, wilayah selatan Hunan.

Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar pada 1 Februari lalu berkata, kejadian itu berlaku di sebuah ladang yang mempunyai 7,850 ekor ayam, 4,500 di antaranya mati akibat selesema burung.

Susulan kes itu, pihak berkuasa menyembelih 17,828 ayam bagi mengelakkan kuman daripada terus merebak.