Malaysia tidak jadi ‘negara gagal’ jika Anwar jadi Perdana Menteri

Malaysia tidak jadi ‘negara gagal’ jika Anwar jadi Perdana Menteri

Malaysia tidak akan menjadi 'negara gagal' jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai perdana menteri pada pilihan raya umum ke-13 lalu manakala negara pasti tidak akan terjebak dalam skandal mega 1MDB yang memalukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Malaysia tidak akan menjadi ‘negara gagal’ jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai perdana menteri pada pilihan raya umum ke-13 lalu manakala negara pasti tidak akan terjebak dalam skandal mega 1MDB yang memalukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyeru rakyat terus mendesak pembebasan Anwar bagi menjayakan agenda reformasi ke seluruh negara.

Rakyat juga, tambah beliau perlu terus berjuang menyelamatkan Malaysia daripada rasuah, salah guna kuasa, pencabulan hak asasi manusia dan ketidakadilan yang berlaku dalam politik, ekonomi dan pembinaan negara.

Bercakap dalam sambutan ulangtahun ke-69 tokoh reformasi itu di pekarangan Penjara Sungai Buloh malam tadi, Kit Siang berkata negara tidak akan terjebak dalam skandal 1MDB, menjadi tumpuan dunia ekoran tindakan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) yang mencemarkan reputasi negara mahupun dilabel sebagai ‘negara kleptokrasi’.

Di hadapan ribuan hadirin, Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengingatkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja perlu diturunkan malah reformasi menyeluruh terhadap sistem politik, ekonomi dan pembinaan negara wajar disegerakan.

“Sabtu lalu Najib mempersoalkan siapa kata Malaysia akan menjadi negara yang gagal di bawahnya.

“Soalan ini telahpun dijawab bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam dalam pelancaran bukunya ‘Frankly Speaking’ yang memberi amaran bahawa Malaysia sedang menuju kegagalan dan mungkin boleh berakhir seperti Filipina suatu ketika dahulu,” jelas beliau.

Presiden PKR Datuk Ser Dr Wan Azizah Ismail dalam ucapannya pula menyeru supaya rakyat tidak berputus asa untuk memperjuangkan perubahan yang tercetus sejak pemecatan Anwar pada tahun 1998.

Beliau menegaskan usaha untuk menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin rasuah perlu secara menyeluruh dan berterusan.

“Kalau kita tidak ubah sistem, sistem itu akan rosak dan akan terus merosakkan.

“Apa yang Anwar pesan kepada saya, jangan putus asa. Terus istiqamah. Hanya yang tidak percaya pada Allah sahaja akan putus asa.

“Pada satu masa rakyat akan sedar, kalau kita tidak ubah, nasib kita akan terus begitu. Kita perlu fikir masa depan anak cucu kita. Ini adalah negara kita mana kita nak pergi?” ucapannya dipetik Roketkini.

Antara pemimpin Pakatan Harapan dan NGO yang turut hadir ialah Naib Presiden Amanah Ustaz Hassanuddin Mohd Yunos, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil.

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said juga hadir mendeklamasikan sajak.

Pengerusi Kanun Amanah, Mohamed Hanipa Maidin juga muncul berkerusi roda setelah pulih daripada pembedahan kepala.

Sebahagian orang ramai yang hadir di pekarangan pintu masuk Penjara Sungai Buloh bagi menyambut hari jadi Anwar.

TAGS