Malaysia tidak perlu tunggu 100 hari untuk ubah pengurusan Covid-19

Oleh NASUHA RAHMAN

Menteri Kesihatan baharu Khairy Jamaluddin perlu melakukan yang lebih baik daripada pendahulunya beliau dan Kerajaan PN sebelum ini, yang akan diingati kerana ketidakcekapan yang jelas dalam mengawasi kegagalan menyeluruh pertempuran melawan pandemik COVID-19 dengan rekod tertinggi jangkitan dan kematian berjumlah 1,746,254 kes dan 16,664 kematian.

Kami percaya bahawa Khairy tidak akan mengulangi kesilapan tidak masuk akal pendahulunya yang menjadikan Malaysia sebagai bahan ketawa di peringkat antarabangsa, daripada minum air suam untuk mengelakkan COVID-19 sehingga keliru selesema Sepanyol dengan “Spanish fly”.

Namun, dengan 1 daripada 18 rakyat Malaysia dijangkiti COVID-19, Khairy perlu bertindak dengan cepat dan tegas.Bukan hanya vaksinasi yang dipercepatkan, malah perlu ada saringan massa untuk strategi Cari, Uji, Kesan, Kuarantin dan Sokong berserta Vaksinasi (FTTIS + V) seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga memastikan hospital dan perkhidmatan kesihatan kita dikendalikan sepenuhnya dan diperuntukkan dengan katil, ubat-ubatan, dan kemudahan ICU yang mencukupi untuk merawat pesakit yang sakit.

Kadar vaksinasi harian pada 31 Ogos telah jatuh di bawah sasarannya iaitu 500,000 dos dengan 336,632 dos pada 29 Ogos, 302,804 dos pada 30 Ogos dan 361,381 dos pada 31 Ogos.

Kadar positiviti ujian mencapai tahap tertinggi 17.76% pada 30 Ogos yang lebih daripada 3 kali ganda berbanding paras 5% yang disyorkan oleh WHO.

Ini menunjukkan ujian yang tidak mencukupi di seluruh negara dengan hanya 108,503 ujian pada 30 Ogos, dan bahawa jumlah sebenar kes Covid-19 berkemungkinan besar lebih tinggi daripada angka yang dilaporkan. Sebagai langkah pencegahan yang berkesan, saringan massa ujian perlu merangkumi sekurang-kurangnya 1% penduduk negara, atau 320,000 ujian setiap hari.

Kemarahan masyarakat juga ditujukan kepada sokongan buruk yang diberikan kepada pesakit positif COVID-19 daripada segi penjagaan kesihatan dan nasihat. Di United Kingdom, pihak berkuasa yang berkaitan tidak hanya mengambil inisiatif untuk menelefon pesakit COVID-19 setiap hari tetapi juga menawarkan untuk membeli bahan makanan. Sebaliknya, di sini kita menerima aduan tidak putus-putus daripada pesakit COVID-19 bahawa tidak ada maklum balas ke atas permintaan mereka yang terdesak bagi meminta bantuan sama ada untuk memanggil ambulans, katil ICU, pembelian barang keperluan dan makanan, rawatan perubatan atau kemasukan ke pusat kuarantin.

Cabarannya di sini bukan untuk menunjukkan hasil dalam 100 hari seperti yang ditetapkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana 100 hari adalah jangka masa yang terlalu lama dalam konteks wabak yang terus berkembang pesat sehingga boleh menyebabkan lebih banyak nyawa hilang dengan sia-sia. Perlu ada pertimbangan mendesak untuk melakukan perubahan tersebut dalam waktu sesingkat mungkin, dengan mengingati pengajaran yang diperoleh daripada pendaftaran vaksin AstraZeneca secara atas talian yang gagal, walaupun telah membelanjakan RM70 juta untuk aplikasi MySejahtera.