‘Malaysia tidak perlu penyangak sebagai Perdana Menteri’

‘Malaysia tidak perlu penyangak sebagai Perdana Menteri’

Tun Dr Mahathir Mohamad

Negara ini tidak memerlukan seorang penyangak untuk menjadi Perdana Menteri, tegas Presiden Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, penyangak dapat disamakan dengan lanun, pencuri maupun ‘kawaq’ dalam loghat Kedah.

Ucapan awal Dr Mahathir di Rapat Umum Selamatkan Malaysia di Dataran Stargate, Alor Setar malam tadi mendapat tepukan gemuruh ribuan hadirin.

Menurut beliau lagi, kini penyangak telah diadaptasi bahasanya kepada ‘kleptokrasi’ yang mempunyai persamaan dengan penyamun ataupun pencuri.

“Kita merasa amat malu apabila negara luar melabelkan PM kita sebagai ‘crook’.

“Seharusnya rakyat negara ini tidak mengekalkan mana-mana penyangak sebagai Perdana Menteri.

“Sekiranya pemimpin sebegini dikekalkan dalam kepimpinan negara, maka mereka akan membeli pengundi dengan duit,” katanya.

Beliau juga berkata, isu 1MDB, derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi perdana menteri dan sebagainya adalah bukti jelas bagaimana kleptokrasi wujud dalam kepimpinan Najib.

Oleh kerana itu katanya, sekiranya rakyat tidak membuat perubahan maka banyak lagi wang rakyat akan hilang kerana dicuri.

Sehubungan itu ujarnya, bagi memastikan tiada lagi wang rakyat yang dicuri, rakyat harus membuat perubahan dari sekarang.

“Rakyat mesti berani untuk menukar pemimpin yang korup dan suka mencuri wang negara.

“Buktikan pembaharuan yang diingini dengan tidak lagi memberi sokongan kepada Umno dan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

“PH telah sepakat untuk membawa perubahan dengan membela nasib rakyat, sekaligus rakyat mesti menolak pemimpin yang gemar menjadi penyangak dalam pilihan raya umum nanti,” tambahnya lagi.

Beliau juga berkata, PH mempunyai ramai pemimpin yang mampu membawa perubahan bagi membela nasib rakyat.

Sehubungan itu ujarnya, rakyat harus membuktikan sokongan tersebut dengan berani untuk menolak Umno dan BN melalui peti undi tidak lama lagi.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Umum senarai jawatankuasa PH Kedah

Dalam ceramahnya juga, Tun Mahathir turut mengumumkan senarai jawatankuasa PH negeri Kedah.

Pengerusi PH Kedah disandang Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir manakala jawatan timbalan pengerusi disandang ahli parlimen Kuala Kedah Dr Azman Ismail (Keadilan), Pengerusi AMANAH Kedah Datuk Dr Ismail Salleh dan Pengerusi DAP Kedah Tan Kok Yew.

Ketua sekretariat disandang Dr Abdul Rahman Ahmad (AMANAH), Setiausaha PPBM Kedah Datuk Abdul Aziz Mahmud (Bendahari), Ketua Pemuda AMANAH Kedah Mohd Asmirul Anuar Aris (Ketua Pemuda) dan Ketua Wanita Keadilan Kedah Nurin Aina Abdullah (Ketua Wanita).

Timbalan Pengerusi PPBM Kedah Mejar (B) Anuar Abdul Hamid menyandang jawatan pengarah penerangan manakala Timbalan Pengerusi AMANAH Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi pula sebagai pengarah pilihan raya.

Lima anggota jawatankuasa ialah Gooi Hsiao Leung (Keadilan), G. Karunagaran (DAP), Dr R. Krishnamoorthy (Keadilan), Aris Awang (AMANAH) dan Beh Poh Kheng (DAP).

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote