Malaysia Dateline

Malaysia tidak terkesan sangat oleh perubahan iklim?

Isu berkaitan jemputan Malaysia ke sidang perubahan iklim anjuran Amerika bukan sangat kerana negara kita diundang atau tidak oleh negara itu tetapi alasan yang diberi oleh menteri yang dipertanggungjawabkan dengan urusan alam sekitar yang membingungkan dan mempamerkan kualiti seorang menteri dalam kerajaan hari ini.

Ketika ditanya kenapa Malaysia tidak diundang ke persidangan tersebut, menterinya Tuan Ibrahim Tuan Man menjawab ia kerana Malaysia tidak terkesan sangat dengan perubahan iklim justeru tiada jemputan bagi negara kita.

Satu kenyataan yang boleh dikira dangkal dan tidak masuk akal. Mustahil negara kita tidak menerima impak besar daripada perubahan iklim global.

Sebenarnya isu pemusnahan alam sekitar yang sudah berlanjutan beberapa dekad lalu telah mendorong negara-negara maju dan juga yang membangun untuk merangka pelbagai perjanjian bagi mengawal apa yang dikatakan “pemanasan global” dan mengurangkan “jejak karbon” (carbon footprint) akibat daripada aktiviti manusia terutama di negara-negara maju yang pesat aktiviti industrinya.

Pola yang sama turut melibatkan negara-negara membangun yang berlumba-lumba memajukan ekonomi mereka dengan perhatian yang amat kurang terhadap kesan aktiviti-aktiviti itu terhadap alam sekitar pada masa kini.

Barangkali sesetengah orang mempunyai daya ingatan yang singkat, justeru yakin negara tidak terkesan sangat dengan perubahan iklim.

Apakah yang hendak dinamakan kepada fenomena kemarau berpanjangan selama lebih tiga bulan di negara kita dari Sabah ke Perlis pada tahun 2014 yang lalu ketika mana di Lembah Klang dan beberapa kawasan lain terpaksa dikenakan catuan air selama lebih sebulan.

Tentunya penduduk Lembah Klang masih ingat peristiwa itu di mana mereka terpaksa menadah air dan menyimpannya untuk dua hari sekali catuan semasa ia dikenakan.

Malah krisis air ketika itu dilaporkan begitu teruk sekali dan disifatkan sebagai yang terburuk dalam sejarah apabila dua empangan terbesar di Lembah Klang hanya mampu membekalkan air untuk 80 hari sahaja selepas awal April tahun berkenaan.

Itu belum diambil kira suhu yang amat panas pada masa itu. Bercakap pasal suhu, dalam beberapa dekad ini negara sering dilanda suhu panas melampau yang sering dilaporkan dalam media.

Barangkali menteri berkenaan tidak membaca laporan-laporan ini disebabkan sibuk berpolitik untuk membawa agenda partinya.

Negara kita juga pernah mengalami krisis air pada tahun 1998. Pada masa itu, Lembah Klang mengalami krisis air yang serius pada bulan Februari di mana tiga empangan mengalami kejatuhan mendadak paras air berikutan apa yang dikenali sebagai fenomena El Nino.

Fenomena ini merupakan fenmena global yang banyak memberi kesan iklim terhadap negara-negara di kawasan tropika yang sepatutnya menerima hujan yang banyak bertukar kepada kemarau dan suhu yang panas.

Ekoran fenomena ini kerajaan waktu itu mengenakan catuan air bagi menjimatkan penggunaan air di seluruh Lembah Klang.

Barangkali “El Nino” juga satu perkataan asing bagi mereka ini sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia “bukan tergolong dalam kategori negara yang terdedah kepada impak perubahan iklim yang ketara”.

Amat malanglah bagi negara kita apabila sikap sebegini menjadi pegangan mereka yang berkuasa.

Perubahan iklim merupakan fenomena sejagat, tiada negara yang tidak terkesan dan bahkan boleh dikatakan kesemua negara mengalaminya dengan kadar yang agak ketara juga.

Daripada hemisphera utara ke selatan tiada negara yang terkecuali. Masalahnya ialah bagaimanakah menentukan apa yang dianggap “impak perubahan iklim yang ketara”?

Apa piawaian yang digunakan untuk menentukan sama ada impak perubahan iklim kecil atau besar?

Apakah keadaan geografi, ekosistem dan rupa bumi itu sama antara semua negara untuk mempunyai hanya satu kayu ukur untuk melihat persoalan ini?

Apakah menteri berkenaan mempunyai kayu ukurnya yang tersendiri untuk menentukan kadar kesan atas alam sekitar daripada proses perubahan iklim?

Apabila persoalan-persoalan ini tidak ditangani dengan betul dan jujur bagaimana mungkin terus boleh membuat kenyataan bahawa “Malaysia tidak terdedah kepada perubahan iklim yang ketara”? Respons yang simplistik dan tidak berasas.

Akibat daripada pendirian sedemikian juga mengundang bahaya kepada alam sekitar negara.

Lebih kurang macam sikap Donald Trump semasa beliau menjadi presiden Amerika di mana beliau telah menolak fakta sains berkaitan perubahan iklim dan kesannya, sehingga menarik Amerika keluar daripada Perjanjian Paris mengenai Perubahan Iklim.

Sama juga apabila menganggap negara kita tidak menerima impak besar daripada perubahan iklim dan dengan itu isu ini tidak diberi keutamaan sewajarnya.

Bulan April biasanya adalah bulan yang banyak menerima hujan, boleh dikatakan setiap hari dalam jumlah yang tinggi, tetapi tahun ini sehingga 7 April jumlah hujan adalah berkurangan, hanya selepas itu kadar hujan menjadi normal sedikit kalau diperhatikan di Lembah Klang.

Kalau rekod lampau diteliti tren semasa akan menunjukkan betapa kelembapan di Semenanjung misalnya adalah lebih tidak menentu berbanding sebelum tahun 1960.

Kajian yang dijalankan misalnya menunjukkan Kelantan antara negeri yang paling terkesan akibat perubahan iklim (Wong Foong Mei, 2014), dan kajian-kajian lain yang terkini juga menyimpulkan betapa Malaysia sedang mengalami kesan dan impak daripada perubahan iklim yang semakin ketara.

Kesan daripada perubahan iklim boleh mengakibatkan kurangnya hasil pertanian, bertambahnya penyakit pada spesies hutan, kehilangan biodiversiti, hakisan pantai, kekerapan banjir kilat dan sebagainya.

Kesemuanya memberi impak negatif terhadap kehidupan manusia dari segi ekonomi dan sosial.

Namun apa sangat yang boleh diharapkan rakyat kepada individu yang mewailiki parti yang hanya mempunyai pemimpin yang boleh beretorik tanpa menguasai realiti pentadbiran sebuah kerajaan era industri 4.0?

Malang sekali apabila “agama” dipergunakan bagi mendapat sokongan dan kuasa dan akhirnya pengurusan negara menjadi lemah.


Dr Latiff, bekas prof madya di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur