Malaysia tidak terlepas gempa bumi, tsunami masuk ke muara sungai

Malaysia tidak terlepas gempa bumi, tsunami masuk ke muara sungai

Semalam, genap dua bulan bencana berganda gempa bumi dan tsunami setinggi lima meter serta fenomena tanah mencair melanda Sulawesi Tengah, Indonesia dengan menyebabkan ribuan mangsa masih gagal ditemui sehingga hari ini.

Adakah Malaysia yang berkongsi pelantar dengan Indonesia tidak terkesan dengan gempa bumi dan tsunami pada masa akan datang?

Pakar hidrogeologi, Dr Abdull Halim Abdul berpendapat Malaysia sebenarnya tidak terlepas dari kedua-dua ancaman itu dengan kawasan muara sungai terutamanya menjadi lokasi paling berisiko.

Menurutnya, Malaysia terletak di pertembungan antara sempadan Plat Indo-Australia dan Plat Filipina-Pacifik dengan sempadan Plat Sunda yang sentiasa bergerak.

Ekoran kewujudan satah-satah sesar atau rekahan, ujarnya, kemungkinan untuk gempa bumi berlaku di Malaysia tidak mustahil walaupun ada saintis berpendapat dalam kebarangkalian yang rendah.

“Sebabnya plat Indo-Australia dianggarkan bergerak kira-kira tujuh sentimeter setahun sekali gus menghimpit Semenanjung, Sabah dan Sarawak dari semua arah termasuk dari plat Pasifik.

“Plat-plat inilah setiap tahun bergerak menumpu ke arah Plat Sunda. Tekanan atau rekahan sedia ada akan digerakkan semula. Jadi, kemungkinan untuk Malaysia mengalami gempa bumi dan tsunami pada masa-masa akan datang memang ada.

“Kemungkinan sesar-sesar yang telah lama wujud di tempat kita akan diaktifkan semula. Pergerakan zon sesar di Sabah contohnya terbukti mampu mencetuskan gempa bumi,” jelasnya yang turut mengikuti Misi Bantuan Kemanusiaan di Palu anjuran Pemuda AMANAH Nasional baru-baru ini.

Loading...

Pada masa sama, katanya, pergerakan plat juga sedikit sebanyak mempengaruhi tekanan aliran air bawah tanah serta kekuatan struktur mengikat tanah apalagi bagi kawasan yang dibangunkan padat dengan binaan fizikal.

Pakar berkenaan juga berkata, pertembungan plat di dasar laut akan mengundang impak yang menjadi punca tekanan kepada munculnya gelombang tsunami.

“Kemungkinan (gempa bumi dan tsunami) memang ada. Tinggi dan risiko kemusnahan yang dibawah tsunami juga berbeza. Tsunami di Acheh sebelum ini jauh lebih tinggi berbanding apa berlaku di Palu yang ombaknya kira-kira lapan meter.

“Kawasan yang berisiko di Semenanjung adalah yang dekat kawasan muara seperti Lembah Klang, Shah Alam, Sabak Bernam dan Kuala Selangor hingga Bagan Datuk dan Teluk Intan.

“Gelombang ombak raksasa akan masuk ke muara sungai terlebih dahulu. Ketiadaan liputan hutan paya bakau dalam berfungsi untuk merendahkan daya hentaman tsunami dibimbangi memburukkan lagi impak tsunami,” jelasnya.

Dr Abdull Halim (tiga dari kiri) bersama Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sany Hamzan (kanan sekali) menyerahkan sumbangan makanan kepada mangsa gempa bumi di Palu bulan lalu.

Sehubungan itu, Dr Abdull Halim mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memulakan pendidikan kesedaran dalam berdepan gempa bumi dan tsunami terutama kepada penduduk di kawasan berisiko.

“Kita perlukan sistem penggera keselamatan yang akan mengingatkan penduduk setempat atau pengunjung menjauhi pantai dengan mengetahui arah evakuasi jika tercetusnya gempa bumi dan tsunami.

“Kesedaran ini patut dimulakan kerana penting untuk meminimumkan jumlah mangsa terkorban dan kerugian harta benda,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Malaysia telah termasuk dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik dengan kehadiran titik-titik gempa dengan Sabah menjadi negeri paling berisiko.

Terdapat banyak titik gempa di Sabah iaitu sekitar Ranau, Kundasang, Tawau, Gunung Kinabalu, Sandakan dan Lahad Datu memandangkan negeri itu dihimpit dari arah selatan dan timur utara kerana terletak berdekatan zon pertembungan plat-plat di Sulawesi, Indonesia serta Filipina.