Malaysia Dateline

Malaysia tolak ICERD, pertahankan Perlembagaan Persekutuan

Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (International Convention On The Elimination Of All Forms Of Racial Discrimination (ICERD).

Penegasan itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.

“Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, berkata adalah mustahil untuk negara melaksanakan ICERD kerana ia memerlukan penggubalan semula Perlembagaan Persekutuan.

Isu ICERD ini telah menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan rakyat negara ini, terbaharu Pas dan Umno akan bekerjasama menganjurkan satu himpunan besar-besaran di ibu negara pada 8 Disember ini bagi membantah ICERD.