Malaysia, Ukraine bincang metrai MoU dalam pengajian tinggi

Malaysia, Ukraine bincang metrai MoU dalam pengajian tinggi

Malaysia dan Ukraine kini sedang membincangkan kemungkinan untuk menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama dalam pengajian tinggi.

Menurut kenyataan dari kedutaan Malaysia di Kiev, MoU yang dicadangkan itu menandakan komitmen Kuala Lumpur untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan dengan Ukraine.

“Itulah mesej yang disampaikan Duta Besar Malaysia ke Ukraine Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah semasa kunjungan hormatnya kepada Menteri Pendidikan dan Sains Ukraine Liliia Hrynevych hari ini (3 Dis),” katanya.

Wakil Malaysia itu berkata rundingan untuk menandatangani MoU kini berada dalam perancangan dan kedua-dua pihak menyatakan keyakinan bahawa perjanjian itu akan menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat dalam pegajian tinggi antara Malaysia dan Ukraine, terutama di antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara.

Manfaat dari pakatan itu mungkin melibatkan perkara seperti program latihan amali pelajar; pertukaran guru dan kakitangan akademik; pertukaran maklumat mengenai amalan kerja terbaik, sastera dan sistem pendidikan; dan penyelidikan bersama.

Raja Reza juga menggalakkan lebih ramai pelajar Ukraine untuk memilih Malaysia sebagai pilihan untuk melanjutkan pengajian tinggi mereka.

Duta Malaysia itu juga mengalu-alukan Ukraine sebagai negara penerima ke-144 Program Kerjasama Teknikal Malaysia yang membolehkan para pegawai Ukraine untuk mengambil bahagian dalam pelbagai program pembangunan dan bantuan teknikal yang ditawarkan oleh Malaysia.