Malaysia wajar sahkan TPPA, kata Gerakan

Malaysia wajar sahkan TPPA, kata Gerakan

Gerakan mahu Malaysia mengesahkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) memandangkan ia memberi manfaat kepada negara, kata Presidennya Datuk Mah Siew Keong.

Beliau dipetik berkata parti berkenaan telah menjalankan pelbagai kajian menyeluruh mengenai perjanjian terbabit, termasuk kelebihan dan keburukannya.

“Gerakan yakin ia (TPPA) akan memacu Malaysia menjadi 10 negara utama (negara dagang terbesar) menjelang 2025, dan mewujudkan kekayaan dan pekerjaan untuk manfaat rakyat Malaysia.

“TPPA akan membawa gelombang inovasi dan kreativiti yang Malaysia perlukan bagi memastikan negara ini mampu meningkatkan kedudukan ekonomi dan menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, malah meletakkan negara sebagai peneraju inovasi dan kecanggihan teknologi,” katanya.

Mah berkata demikian semasa merasmikan jamuan malam dan sesi taklimat tertutup TPPA oleh Ketua Perunding, Datuk J Jayasiri, di ibu pejabat parti itu hari ini.

Dalam ucapannya, Mah berkata Malaysia sememangnya negara dagang, dengan Melaka, pada abad ke-15, merupakan hab utama di Asia Tenggara berdasarkan lokasinya di tengah-tengah Asia.

Oleh itu katanya, Malaysia mesti kembali ke asal dengan tidak takut untuk menjadi terbuka dan pelbagai supaya ia dapat maju dalam arena global.

Mah menegaskan isu itu tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya wajar menganalisis akibat andai Malaysia tidak menjadi sebahagian daripada perjanjian itu.

Ditanya kebimbangan utama yang dibangkitkan oleh pemegang kepentingan dalam kajianitu, Mah berkata antara lain mereka bertanyakan impak perusahaan kecil dan sederhana selain industri kesihatan.

“Namun kami (Gerakan) yakin kerajaan akan dapat menangani kebimbangan ini seperti yang dilakukan ke atas isu-isu utama lain.

“Tambahan pula, Malaysia sudah menandatangani banyak FTA Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sejak 15 tahun lalu mengapa tidak kita berfikiran terbuka terhadap isu ini (TPPA),” katanya.

TAGS