Malbatt 850-6  ke Lubnan dalam misi Pengaman PBB

Malbatt 850-6 ke Lubnan dalam misi Pengaman PBB

Kumpulan pertama pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-6 (MALBATT 850-6) berlepas ke Lubnan hari ini bagi menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) selama setahun.

Kumpulan disertai oleh 215 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diketuai Komander MALBATT 850-6, Kolonel Azhan Md Othman berlepas menerusi Pangkalan Udara Subang semalam,lapor Bernama.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata MALBATT 850-6 akan diaturgerakkan ke negara berkenaan secara empat peringkat iaitu hari ini, 13, 20 dan 27 September ini.

Ia membabitkan keseluruhan 850 anggota tentera termasuk 30 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang pegawai kewangan Kementerian Pertahanan.

“Penglibatan mereka ini dalam melaksanakan misi di bawah panji-panji PBB adalah merupakan pengiktrafan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa yang berterusan terhadap kredibiliti, kewibawaan dan profesionalisme ATM,” katanya pada majlis pemakaian Beret PBB, penyerahan bendera Malaysia dan penghantaran kumpulan itu di sini.

Pemergian MALBATT 850-6 itu adalah untuk menggantikan MALBATT 850-5 yang akan tamat operasi pada 20 Sept ini setelah bertugas selamat setahun di bawah misi PBB.

Mohamad berkata adalah menjadi tanggungjawab seluruh anggota MALBATT 850-6 untuk memastikan pengiktirafan ini terus terpelihara demi memartabatkan lagi maruah negara dan ATM di persada antarabangsa.

“Selain itu, penglibatan ATM di peringkat antarabangsa membuktikan bahawa Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada negara yang memerlukan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan,” katanya.

Berikutan itu, penyertaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei di dalam misi ATM ini juga meningkatkan hubungan sedia ada yang terjalin di antara Malaysia dan Brunei Darussalam.

“Ia membuktikan bahawa anggota daripada kedua-dua negara dapat berganding bahu dengan baik menerusi siri aktiviti dua hala antara dua negara, bahkan turut bekerjasama dalam misi antarabangsa,” katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Affendi Buang.

Mohamad Sabu seterusnya berkata anggota MALBATT 850-6 menjalani latihan selama dua bulan di MALBATT Village di Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum menyertai misi berkenaan.

Beliau berharap mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik, mengelak daripada terpalit dengan sebarang perkara sensitif di negara itu, mengutamakan keselamatan dan patuh kepada segala peraturan dan prosedur yang digariskan UNIFIL.

Beliau turut menuntut setiap anggota MALBATT 850-6 mengekalkan semangat kerjasama sebagai satu pasukan.

COMMENTS

Wordpress (0)